Isnin, 28 Februari 2022 | 12:54pm
Indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan bulan lalu - NSTP/Rohanis Shukri
Indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan bulan lalu - NSTP/Rohanis Shukri

Harga barangan di peringkat pengeluar terus meningkat

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu kilang meningkat 9.2 peratus pada Januari berbanding penurunan 0.1 peratus direkodkan pada Januari 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan itu bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding peningkatan 10 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada Disember tahun lalu.

"Peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Januari 2022 disokong oleh indeks perlombongan yang meningkat 34.3 peratus berbanding penurunan 28.3 peratus yang direkodkan pada Januari tahun lalu," katanya dalam laporan bulanan IHPR Januari 2022 yang diterbitkan hari ini.

Mohd Uzir berkata, harga minyak mentah dan gas asli yang mencatatkan peningkatan masing-masing dengan 33.5 peratus dan 39.0 peratus turut menyumbang kepada kenaikan IHPR.

"Indeks pertanian, perhutanan & perikanan meningkat sederhana 12.5 peratus berbanding kenaikan 22.6 peratus yang direkodkan pada Januari 2021. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh kenaikan pada indeks penanaman tanaman kekal (14.6 peratus) dan perikanan (13.3 peratus).

"Indeks pembuatan turut mencatatkan kenaikan 7.0 peratus (Januari 2021: 1.1 peratus), sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pada indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (19.2 peratus), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (17.0 peratus) dan pembuatan komponen & papan elektronik (0.4 peratus).

"Sementara itu, indeks subsektor lain seperti pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer, Pembuatan besi & keluli asas dan pembuatan produk plastik turut meningkat. Pada masa yang sama, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.9 peratus," katanya.

Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, beliau menjelaskan, pada Januari 2022, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan 1.3 peratus selepas mencatatkan penurunan buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan pada Disember 2021.

"Peningkatan ini disokong oleh peningkatan marginal 4.5 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan & perikanan. Kenaikan dalam sektor ini adalah terutama disebabkan oleh kenaikan harga buah tandan segar kelapa sawit yang merekodkan peningkatan 7.1 peratus.

"Pada masa yang sama, indeks bagi tomato, kobis bulat, lada hitam dan getah asli & susu getah juga menyumbang kepada peningkatan ini. Namun begitu, penurunan dalam indeks ayam dan telur ayam mengimbangi kenaikan dalam indeks bagi sektor ini," katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks perlombongan turut mencatatkan peningkatan 3.1 peratus pada Januari 2022.

"Harga minyak mentah meningkat pada Januari selepas merekodkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, disebabkan oleh permintaan melebihi bekalan.

"Permintaan terhadap komoditi ini dijangka akan berterusan walaupun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron memandangkan banyak negara menolak untuk melaksanakan sekatan ketat sekali lagi," katanya.

Sementara itu, indeks pembuatan naik 0.8 peratus disebabkan oleh peningkatan indeks subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (2.4 peratus) dan pembuatan produk petroleum bertapis (1.7 peratus).

"Harga minyak sawit mentah (MSM) naik pada Januari 2022 sebahagian besarnya disokong oleh kebimbangan mengenai pengurangan ketersediaan eksport daripada pengeksport terkemuka dunia, Indonesia serta kenaikan harga minyak mentah. Indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 0.2 peratus dan 0.1 peratus," katanya.

Berita Harian X