Selasa, 22 Februari 2022 | 11:48am

Malaysia cadang tubuh hab logistik minyak sawit di Mesir

NEW DELHI: Malaysia bercadang menubuhkan hab logistik dan pemasaran minyak sawit di Mesir untuk meningkatkan eksport komoditi negara ke Afrika.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata Mesir berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan kemudahan penyimpanan, pengedaran dan pemasaran minyak sawit untuk memenuhi pasaran negara jiran.

"Mereka (Mesir) mahu menjadi hab di wilayah itu. Kita boleh membangunkannya dengan penyertaan sektor swasta," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Idea ini sesuai dengan usaha Malaysia untuk menerokai pasaran baharu bagi eksport komoditi utamanya.

Malaysia, pada Januari, menubuhkan Syarikat Pemasaran Bersepadu Komoditi di Jeddah untuk mengembangkan eksport minyak sawit, kayu dan getah ke Arab Saudi.

Syarikat-syarikat serupa mungkin ditubuhkan di lokasi baharu di Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Timur, kata Zuraida sambil menambah, "Kita akan memberi tumpuan kepada Mesir dalam fasa kedua." – Bernama

Berita Harian X