Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:38am
PublicInvest Research mengunjurkan purata harga sawit RM4,300 satu tan tahun ini - Foto hiasan
PublicInvest Research mengunjurkan purata harga sawit RM4,300 satu tan tahun ini - Foto hiasan

Harga hadapan sawit pecah rekod RM6,000 satu tan

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit menyaksikan pusingan 'super-cycle' yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras RM6,000 satu tan buat kali pertama dalam sejarah semalam.

PublicInvest Research dalam nota penyelidikannya berkata, ia berpendapat bahawa harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022 memandangkan bekalan minyak sayuran global yang sempit selain kekangan bekalan minyak sawit di dua negara pengeluar terbesar.

"Justeru, kami menyemak semula jangkaan harga MSM daripada RM3,500 satu tan kepada RM4,300 dan RM3,800 satu tan, masing-masing untuk tahun ini dan 2023.

"Kaunter pilihan kami adalah Sarawak Plantation dan Ta Ann kerana percaya syarikat terbabit mampu meraih sepenuhnya kenaikan harga MSM semasa. Kami menaik taraf saranan sektor ini kepada 'Overweight' daripada 'Neutral'," katanya.

PublicInvest Research berkata, industri minyak sawit negara memulakan 2022 dengan stok bawaan yang rendah, berada pada 1.61 juta tan.

Katanya, memandangkan separuh pertama adalah tempoh pengeluaran bermusim rendah, ditambah dengan permintaan yang semakin meningkat menjelang Ramadan menyaksikan inventori minyak sawit dijangka kekal sempit dalam tempoh terdekat.

"Berikutan semakan harga MSM yang meningkat, kami meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) tahun kewangan 2022 hingga 2024 sebanyak 25 hingga 65 peratus untuk syarikat perladangan di bawah liputan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan prestasi harga MSM yang lebih kukuh daripada jangkaan, ia menyemak semula unjuran harga tahun ini kepada RM4,300 satu tan berbanding RM3,500 satu tan sebelumnya.

"Bagi tahun 2023, kami menaikkan unjuran harga MSM kami daripada RM3,500 satu tan kepada RM3,800 satu tan.

"Kami berpendapat harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022. Selepas itu, harga MSM sepatutnya berkurangan kerana kami menjangkakan pengeluaran meningkat apabila pekerja asing mula kembali ke Malaysia," katanya.

Berita Harian X