Rabu, 16 Februari 2022 | 8:18pm

SME Bank sasar jualan eksport usahawan PKS meningkat

KUALA LUMPUR: SME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) yang dijalankan secara usaha sama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia berkata, seramai 11 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang juga peserta BEP telah di bawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf Food.

Ketua Pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim, berkata selain mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 usahawan PKS itu juga akan mencari peluang untuk menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing.

Beliau berkata, ia adalah antara objektif utama penyertaan mereka di bawah EAM yang turut dilancarkan di Dubai oleh Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad pada 13 Februari 2022.

Katanya, 11 syarikat itu adalah daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan.

"SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak 2016 sehingga 2019, yang mana sebelum ini ia dikenali sebagai Best Exporters Program dan adalah kerjasama antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.

"Sebanyak 73 syarikat tempatan telah menyertai program itu dan mencatat peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 syarikat telah berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 syarikat telah menjadi pengeksport baharu dan 13 syarikat telah mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta," katanya dalam satu kenyataan.

BEP adalah program intervensi berstruktur yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan program itu menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas.

Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi, dengan memudah cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Berita Harian X