Jumaat, 11 Februari 2022 | 6:22pm
Gambar fail. - NSTP/Amran Hamid
Gambar fail. - NSTP/Amran Hamid

Nilai eksport kayu cecah RM19.31 bilion - MTIB

KOTA KINABALU: Malaysia mencatatkan nilai eksport kayu sebanyak RM19.31 bilion sehingga November tahun lepas, kata Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata daripada nilai eksport itu, Sabah menyumbang sebanyak RM985 juta dan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tempoh sama pada 2020.

"Antara isu dan cabaran dalam meningkatkan sumbangan sektor kayu-kayan kepada pendapatan eksport negara adalah meningkatkan industri hiliran di Sabah kerana negeri ini kaya dengan bekalan bahan mentah yang boleh dimanfaatkan industri hiliran sektor perkayuan negara," katanya dalam kenyataan sempena lawatannya ke Sabah selama tiga hari bermula hari ini.

Katanya produk huluan kayu Sabah masih mendominasi prestasi eksport kayu Sabah iaitu berjumlah RM946 juta berbanding produk hiliran yang hanya bernilai RM39 juta pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya MTIB akan memastikan program seperti Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), Program Community Farming Buluh dan pembangunan modal insan menerusi Pusat Latihan MTIB iaitu Wood Industry Skills Development Centre (WISDEC) akan terus dinikmati oleh industri perkayuan Sabah.

Katanya MTIB akan terus menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan negeri termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah selain pihak industri seperti Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA), Persatuan Perabot Sabah (SFA) dan Persatuan Taman Industri Perabot Sabah (PERTIPS).

Katanya MTIB turut melaksanakan pameran untuk pemasaran produk kayu bagi industri perkayuan di Sabah melalui Sabah Wood & Lifestyle (SWL), penyertaan dalam pameran HOMEDEC serta Sabah International Expo (SIE) dan Borneo Industry Trade (BITF).

Hishamuddin berkata program pembangunan produk juga akan terus dijalankan melalui kerjasama pihak berkaitan antaranya Pusat Kraftangan Sabah dan Artistry Fab Lab Mentah, menerusi pendedahan, latihan kemahiran, pembangunan inkubator, pameran dan jualan produk nilai tambah seperti pembuatan gazebo serta teknologi laser-cut.

"MTIB berharap penjajaran semula fungsi dan peranan MTIB Sabah akan dapat memastikan peningkatan industri perkayuan negeri Sabah selain menjana pertumbuhan ekonomi negeri," katanya. – Bernama

Berita Harian X