Jumaat, 11 Februari 2022 | 12:35pm
Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

Ekonomi Malaysia akan terus pulih

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pemulihan sejajar dengan pertumbuhan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pada 2022, ekonomi dalam negeri dijangka terus berada pada landasan pemulihan disokong oleh permintaan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar berterusan.

Katanya, penerusan projek pelaburan besar dalam sektor swasta dan sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan.

"Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang berkembang.

"Program pemberian vaksin penggalak COVID-19 dan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas yang dipercepat, seiring dengan kapasiti sistem penjagaan kesihatan yang mencukupi, akan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam negeri, lantas mengukuhkan momentum pemulihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2021 secara maya, hari ini.

Nor Shamsiah bagaimanapun berkata, imbangan risiko terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutama oleh perkembangan berhubung dengan COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri.

Katanya, pada 2022, purata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.

"Inflasi teras dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal berikutan persekitaran kos input yang tinggi. Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja.

"Bagaimanapun, prospek ini terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," katanya.

Mengenai prestasi ringgit, gabenor bank pusat itu berkata, mata wang tempatan menambah nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat 2021.

Katanya, penambahan nilai itu disokong oleh sentimen yang bertambah baik disebabkan oleh pelonggaran langkah sekatan berkaitan COVID-19 dan pemberian vaksin penggalak COVID-19 yang dipercepat.

"Bagaimanapun, sejak 3 Januari 2022, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dengan dolar AS.

"Penyusutan nilai ini selaras dengan trend mata wang serantau lain berikutan jangkaan yang meningkat untuk keadaan mudah tunai global menjadi lebih ketat, termasuk dasar monetari yang diperketatkan pada kadar yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

"Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan domestik dijangka mengalami turun naik yang berkala," katanya.

Berita Harian X