Khamis, 10 Februari 2022 | 11:20am
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Willie Anak Mongin
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Willie Anak Mongin

Eksport Malaysia ke Asia Barat bakal melonjak

DUBAI: Pendapatan eksport dari rantau Asia Barat dijangka menjanjikan prospek jangka pendek yang positif berikutan beberapa acara penting yang berlangsung di rantau berkenaan seperti Ekspo 2020 Dubai, FIFA 2022 di Qatar termasuk penyambungan semula perjalanan haji serta umrah.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Willie Anak Mongin, berkata Malaysia melihat wilayah Asia Barat sebagai destinasi ekonomi dan eksport yang utama bagi negara.

"Jika kita boleh mencapai lonjakan di antara satu hingga dua peratus, ia sudah dikira amat baik di kala negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19," katanya kepada Bernama semasa pelancaran kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh dengan Kebaikan di sini.

Kempen itu akan menyaksikan produk berasaskan minyak sawit Malaysia iaitu makanan, kosmetik dan farmaseutikal dijual melalui Lulu Hypermarkets di Dubai.

Sebelum ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan konglomerat multinasional India, yang mengendalikan 224 kedai runcit di 22 negara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semasa pembukaan Minggu Komoditi Tani (Makanan Komoditi Tani) di Pavilion Malaysia semasa Ekspo 2020 Dubai.

Menurutnya, Malaysia pernah mempunyai kerjasama yang sama dengan Jepun sebelum ini di dalam sukan Paralimpik, yang mana negara itu mengiktiraf minyak sawit Malaysia.

Beliau menjelaskan, Jepun memperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan membantu negara dalam mempromosikan produk berasaskan minyak sawit di sana.

Sementara itu dalam ucapannya sebelum ini, Willie berkata, pada 2021, Asia Barat mengimport 2.34 juta tan minyak sawit Malaysia, peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2020.

Katanya lagi, negara-negara seperti Turki, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 84 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Asia Barat.

Sebagai hab utama di Asia Barat, UAE sentiasa menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terpenting di rantau berkenaan, selain berfungsi sebagai pintu masuk untuk Malaysia menembusi pasaran baharu di rantau yang lebih luas.

Pasaran minyak sawit UAE sendiri kini adalah pengimport minyak kelapa sawit keempat di dunia Arab dan dijangka mencapai AS$467.1 juta menjelang 2025, menurut satu laporan terkini oleh Grand View Research, Inc.

"Kami sangat berharap bahawa pelancaran kempen pengguna serta pemeteraian MoU yang diadakan baru-baru ini akan membuka lebih banyak peluang bagi produk minyak sawit dan kelapa sawit Malaysia ke pasaran yang lebih besar di negara ini," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X