Selasa, 8 Februari 2022 | 4:31pm
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan adalah produk elektrik dan elektronik - Foto Reuters
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan adalah produk elektrik dan elektronik - Foto Reuters

Pengeluaran industri domestik terus berkembang

PUTRAJAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) naik 5.8 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin, berkata pengembangan IPI disumbangkan oleh peningkatan 8.4 peratus dalam indeks pembuatan dan 3.7 peratus dalam indeks elektrik, tetapi indeks perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 2.5 peratus.

"Dari bulan ke bulan, IPI berkembang sebanyak 1.3 peratus selepas didorong oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Output sektor pembuatan menokok 8.4 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2021 selepas merekodkan pertumbuhan 11.3 peratus pada November 2021.

"Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor pembuatan pada Disember 2021 adalah produk elektrik dan elektronik (18.2 peratus), makanan, minuman serta tembakau (10.3 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas serta fabrikasi logam (5.3 peratus)," katanya.

Pada masa yang sama, pertumbuhan dalam sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (9.6 peratus) dan industri berorientasikan domestik (5.7 peratus).

"Peningkatan industri yang berorientasikan eksport disokong oleh pembuatan komputer, elektronik dan produk optik termasuk pembuatan minyak sayur-sayuran, minyak haiwan dan lemak," katanya.

Prestasi sektor pembuatan juga berada sebaris dengan pertumbuhan eksport yang menggalakkan.

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik adalah disebabkan oleh pembuatan produk makanan dan logam asas.

"Dari bulan ke bulan, sektor pembuatan mencatatkan kenaikan 0.5 peratus berbanding dengan November 2021 selepas disokong oleh penggunaan kapasiti yang lebih tinggi terutamanya dalam subsektor elektrik dan elektronik termasuk produk petroleum, kimia, getah dan plastik," katanya.

Beliau berkata, penurunan output sektor perlombongan pada Disember 2021 berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya adalah disebabkan oleh kejatuhan sebanyak 5.5 peratus dalam indeks minyak mentah dan pengurangan 0.2 peratus dalam indeks gas asli.

Bagaimanapun, beliau berkata indeks perlombongan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Output sektor elektrik bertambah 3.7 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2021 manakala dari bulan ke bulan, indeks elektrik mencerminkan kenaikan sebanyak 1.7 peratus.

Mohd Uzir berkata, IPI bagi suku keempat 2021 meningkat 6.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan pengembangan ini disebabkan oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (9.2 peratus) dan indeks elektrik (4.3 peratus), manakala indeks perlombongan menguncup 0.8 peratus.

IPI pada 2021 mencatatkan pertumbuhan 7.4 peratus berbanding 2020 yang dipengaruhi oleh lonjakan dalam semua komponen termasuk indeks pembuatan (9.5 peratus), indeks elektrik (2.3 peratus) dan indeks perlombongan (1.5 peratus).

Berbanding dengan tempoh sebelum berlakunya COVID-19 pada 2019, IPI menokok 2.7 peratus dan indeks pembuatan bertambah sebanyak 6.6 peratus.

"Subsektor yang melepasi indeks pembuatan pada 2019 adalah produk elektrik dan elektronik (17.2 peratus), produk petroleum, kimia, getah serta plastik (12.2 peratus), makanan, minuman dan tembakau (0.2 peratus).

"Manakala, subsektor yang masih tidak mencerminkan pemulihan adalah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (-9.2 peratus), tekstil, pakaian, kulit dan kasut (-6.4 peratus), peralatan pengangkutan serta lain-lain pembuatan ( -4.5 peratus) termasuk produk kayu, perabot, kertas dan percetakan (-1.4 peratus)," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X