Selasa, 8 Februari 2022 | 3:53pm
Industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk elektrik dan elektronik antara yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan - Foto fail NSTP
Industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk elektrik dan elektronik antara yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan - Foto fail NSTP

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat

PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 15.5 peratus tahun ke tahun kepada RM143.9 bilion pada Disember 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, nilai jualan naik sebanyak 1.1 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan nilai jualan pada bulan Disember 2021 dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (naik 19.9 peratus tahun ke tahun), terutama dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

"Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (19.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk elektrik dan elektronik (18.4 peratus) terutama dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.1 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 18.7 peratus, manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan lapan peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merekodkan pertumbuhan 1.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik menurun 0.3 peratus

Mohd Uzir juga berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Disember 2021 adalah seramai 2.26 juta, meningkat 2.7 peratus berbanding 2.2 juta pada Disember 2020 dan peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (5.3 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.4 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (2.4 peratus).

Laporan berkenaan juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM8.12 bilion, meningkat 4.9 peratus atau RM377.8 juta pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan setiap pekerja meningkat 12.4 peratus kepada RM63,688 berbanding bulan yang sama tahun 2020 iaitu sebanyak RM56,644.

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,594 pada bulan Disember 2021.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.5 peratus kepada RM1,554.7 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020 dengan bilangan pekerja dan gaji serta upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.7 peratus dan 3.0 peratus.

Nilai jualan setiap pekerja bagi tahun 2021 turut berkembang 12.4 peratus kepada RM688,053.

Sementara itu, berbanding tahun 2019 yang juga tempoh pra-pandemik, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 13 peratus.

Jabatan Perangkaan menambah, subsektor yang melepasi paras nilai jualan tahun 2019 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (24.4 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (21.2 peratus), produk elektrik dan elektronik (13.9 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (7.4 peratus).

Sementara itu, subsektor yang masih belum pulih daripada tahun pra pandemik adalah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-9.3 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas, percetakan (-7.2 peratus) dan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (-2.3 peratus).

-BERNAMA

Berita Harian X