Isnin, 7 Februari 2022 | 12:15pm
Indeks restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak mencatatkan kenaikan - Foto hiasan
Indeks restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak mencatatkan kenaikan - Foto hiasan

Sektor perkhidmatan alami kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP), yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia meningkat 0.5 peratus pada suku keempat 2021 kepada 110.7 berbanding 110.1 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan terbabit didorong terutama oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (1.5 peratus) dan pengangkutan (0.7 peratus).

Katanya, kenaikan indeks restoran & aktiviti perkhidmatan makanan

bergerak (1.8 peratus) mendorong kepada kenaikan indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman.

"Susulan penarikan semula sekatan perjalanan dan pembukaan sektor pelancongan yang berkuat kuasa pada pertengahan September 2021 juga mempengaruhi peningkatan bagi subsektor ini," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi IHPRP suku tahun keempat 2021, hari ini.

Mohd Uzir berkata, kenaikan dalam subsektor pengangkutan didorong terutama oleh harga yang lebih tinggi dalam pengangkutan muatan melalui jalan raya (1.2 peratus) dan pengangkutan penumpang udara (0.8 peratus).

Katanya, subsektor yang lain juga merekodkan kenaikan iaitu aktiviti Hartanah (0.6 peratus), pendidikan (0.5 peratus), kesihatan (0.2 peratus) dan profesional (0.1 peratus).

"Bagaimanapun, indeks bagi subsektor kesenian, hiburan & rekreasi menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus manakala indeks maklumat & komunikasi kekal tidak berubah.

"Secara keseluruhan pada tahun 2021, IHPRP meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada 2020," katanya.

Beliau berkata, bagi perbandingan suku tahunan, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus disumbangkan oleh subsektor Pengangkutan (0.8 peratus), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (0.7 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus).

Katanya, kenaikan dalam subsektor pengangkutan disumbangkan terutama oleh pengangkutan penumpang udara yang meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding satu peratus yang direkodkan pada suku ketiga 2021.

"Indeks bagi subsektor profesional, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

"Namun begitu, indeks bagi kesenian, hiburan & rekreasi mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh penurunan aktiviti perjudian dan pertaruhan, manakala indeks bagi subsektor maklumat & komunikasi kekal tidak berubah," katanya.

Berita Harian X