Jumaat, 28 Januari 2022 | 7:17pm
Agrikomoditi mampan termasuk getah akan dipamerkan pada ruang Pavilion Malaysia - Foto fail NSTP
Agrikomoditi mampan termasuk getah akan dipamerkan pada ruang Pavilion Malaysia - Foto fail NSTP

Produk getah Malaysia dipamer di Ekspo 2020 Dubai

KUALA LUMPUR: Majlis Getah Malaysia (MRC) melalui Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai akan memperkenalkan produk getah buatan Malaysia kepada dunia.

"Agrikomoditi mampan termasuk getah, akan dipamerkan pada ruang Pavilion Malaysia, Kementerian Perindustrian dan Komoditi Perladangan pula akan menerajui program perdagangan serta perniagaan selama dua minggu membabitkan agrikomoditi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertemakan 'Energising Today - Exploring Sustainable Agricommodity', Pavilion Malaysia mahu menampilkan komitmen negara ke arah masa depan yang terjamin dan lestari dengan mengimbangi kemajuan sosio-ekonomi serta keprihatinan terhadap alam sekitar.

Usaha MRC untuk mengambil peluang ke atas pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) terbukti dengan penubuhan pejabatnya di Jeddah pada September 2021 bagi meneroka serta memudahkan potensi usaha sama dan pelaburan asing daripada rantau MENA.

"Ia juga menyediakan maklumat termasuk bahan pendidikan kepada pembeli serta pengguna akhir mengenai getah dan produk getah yang berkualiti," katanya.

Bermodalkan capaian besar melalui Ekspo 2020 Dubai, MRC akan melancarkan Pameran Maya Produk Getah Malaysia (MaRViS), platform dalam talian yang memudahkan pembabitan perniagaan dalam talian antara pembeli antarabangsa dan pengeluar produk getah Malaysia.

"MRC menyusun acara menarik di Ekspo 2020 Dubai termasuk demonstrasi produk tanah liat semula jadi.

"Produk ini selamat untuk kanak-kanak, tidak berminyak, tanpa warna, tidak mengeras, bukan toksik, tahan air dan boleh digunakan semula selama lebih dari lima tahun.

"Produk yang dicipta oleh pengilang Malaysia ini sesuai bagi pemodelan serta karya seni di kanvas," katanya.

MRC juga akan mengambil bahagian dalam Arab Health 2022 mulai 24 hingga 27 Januari untuk mempromosikan peranti perubatan getah berkualiti tinggi buatan Malaysia.

Selain itu, Forum Getah 2022, yang dilancarkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin di Pavilion Malaysia adalah program utama Lembaga Getah Malaysia (MRB) yang diadakan setiap tahun bagi berkongsi pandangan dan pembangunan terkini dalam industri getah.

"Tahun ini, Forum Getah 2022 menyasarkan perkongsian industri getah Malaysia yang lestari dan menonjolkan arah aliran global yang baru muncul termasuk bagi melibatkan diri dengan pemain getah global yang berpotensi terutama dari Asia Barat untuk kerjasama strategik dan peluang pelaburan," katanya.

MRC turut menjalankan dua rundingan mengenai produk inovatif serta mesra alam iaitu Ekoprena dan Pureprena termasuk menampilkan teknologi terkini berasaskan getah bagi manfaat peneraju industri komoditi itu yang dihasilkan oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC), yang bertanggungjawab mengenai penyelidikan dan pembangunan getah berpusat di United Kingdom.

-BERNAMA

Berita Harian X