Jumaat, 28 Januari 2022 | 3:33pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin

Arab Saudi tambah import minyak sawit Malaysia

JEDDAH: Arab Saudi menyatakan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata komitmen baharu negara itu adalah lebih tinggi berbanding import sebanyak 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lalu.

"Pada 2020, eksport komoditi pertanian Malaysia ke Asia Barat dan Afrika Utara mencatatkan jumlah AS$2.37 bilion (RM9.95 bilion) manakala getah dan produk berkaitan mencatatkan nilai eksport sebanyak AS$535 juta (RM2.25 bilion).

"Begitu juga, kayu dan produk kayu mencatatkan nilai eksport sebanyak AS$324.5 juta (RM1.36 bilion) manakala minyak sawit dan produk minyak sawit mencatatkan AS$1.51 bilion (RM6.33 bilion)," katanya selepas melancarkan Pejabat Wilayah Agrikomoditi di sini, hari ini.

Sementara itu, Zuraida berkata, berkata Pejabat Wilayah Agrikomoditi penting untuk memudahkan pembangunan dan kerjasama dalam kalangan komoditi Malaysia dan industri tempatan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), khususnya Arab Saudi.

"Ini juga akan membawa kepada peluang yang lebih besar dalam meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua negara," katanya.

Pejabat Wilayah Agrikomoditi atau lebih dikenali Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi (CIMC) itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Barat, menempatkan tiga organisasi berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung, iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC).

Pada acara perasmian pejabat itu, Zuraida turut menghadiri perbincangan dengan wakil daripada industri minyak sawit, getah dan kayu dari Arab Saudi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran Malaysia di rantau ini.

"Produk pertanian Malaysia sudah mantap di pasaran dunia dan kebanyakannya adalah keperluan kehidupan harian seperti minyak masak, kosmetik, sabun, sarung tangan dan perabot rumah serta produk yang biasa digunakan dalam sektor perindustrian seperti biofuel, galas struktur, alat ganti automotif dan panel bangunan.

"Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dan pengeksport kedua terbesar minyak sawit mentah, produk pertaniannya juga terkenal dengan kualiti tinggi dan boleh didapati di kebanyakan bahagian dunia," katanya.

CIMC akan bertindak sebagai hab komoditi Malaysia untuk memupuk hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang penting untuk penambahbaikan dan penerimaan produk pertanian Malaysia di pasaran global.

"Kementerian percaya, pejabat di Jeddah adalah testimoni kedua-dua negara untuk menyampaikan produk pertanian Malaysia berkualiti tinggi ke Asia Barat dan Afrika dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan," tambah Zuraida.

Berita Harian X