Khamis, 27 Januari 2022 | 10:14pm
Sekatan Indonesia terhadap eksport MSM terus merangsang sentimen harga komoditi itu - Foto hiasan
Sekatan Indonesia terhadap eksport MSM terus merangsang sentimen harga komoditi itu - Foto hiasan

Niaga hadapan sawit cecah rekod tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup pada paras tertinggi sepanjang masa hari ini apabila sekatan Indonesia terhadap eksport MSM terus merangsang sentimen, kata peniaga minyak sawit, David Ng.

Penanda aras kontrak minyak sawit untuk April 2022 meningkat sebanyak RM115 kepada RM5,444 satu tan.

Beliau berkata, keuntungan juga dipengaruhi oleh prestasi minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

"Dengan sekatan eksport berkenaan, pembeli memilih minyak sawit Malaysia sehingga mendorong lagi permintaan.

"Kami mencari sokongan pada RM5,200 satu tan dan rintangan pada RM5,500 satu tan," katanya kepada Bernama.

Indonesia mengenakan peraturan mulai hari ini membabitkan sebahagian besar minyak kelapa sawit yang akan dijual secara domestik pada harga maksimum 9,300 rupiah bagi sekilogram untuk minyak sawit mentah dan 10,300 rupiah sekilogram bagi olein, kata Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi.

Menurut Lutfi, Obligasi Pasaran Domestik (DMO) akan digunakan untuk semua pengeksport minyak masak dan mereka akan dikehendaki menjual 20 peratus daripada eksport mereka yang dirancang ke pasaran tempatan.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa, berkata MSM diniagakan pada harga yang lebih tinggi hari ini selepas dipacu oleh dasar eksport Indonesia.

Katanya, keuntungan yang lebih baik dalam minyak kacang soya di CBOT dan harga minyak mentah yang lebih kukuh juga turut meningkatkan sentimen positif.

Pada penutupan, kontrak niaga hadapan MSM untuk Februari 2022 meningkat RM107 kepada RM5,613 satu tan, Mac 2022 menokok RM121 kepada RM5,613 satu tan, April 2022 bertambah sebanyak RM115 kepada RM5,444 satu tan, Mei 2022 naik RM100 kepada RM5,260 satu tan, Jun 2022 adalah RM89 lebih tinggi kepada RM5,089 satu tan dan Julai 2022 mengukuh RM75 kepada RM4,931 satu tan.

Jumlah dagangan bertambah baik kepada 73,815 lot daripada 41,163 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 285,416 kontrak daripada 252,652 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan naik sebanyak RM90 kepada RM5,640 satu tan daripada RM5,550 satu tan.

-BERNAMA

Berita Harian X