Khamis, 27 Januari 2022 | 1:35pm
Malaysia mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan - Foto hiasan
Malaysia mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan - Foto hiasan

Malaysia negara Asia Tenggara paling berpotensi tarik pelabur

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara baharu muncul yang paling berpotensi untuk menarik pelabur asing, menurut Indeks Peluang Global Milken Institute 2022.

Berdasarkan indeks itu, Malaysia mendapat kedudukan paling tinggi di rantau itu disebabkan oleh prestasinya yang kukuh merentasi semua kategori yang diukur.

Malaysia, Thailand dan Indonesia menduduki tempat teratas di Asia Tenggara yang baharu muncul, manakala Vietnam dan Filipina melengkapkan lima negara teratas di Asia Tenggara yang baharu muncul, mengikut susunan indeks itu.

Milken Institute berkata, Malaysia yang juga pasaran bon ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea mengambil langkah dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan, sekali gus membantunya meraih tempat pertama dalam indeks tahun ini.

"Dalam laporan tahun ini, kami mengenal pasti beberapa dasar yang akan membantu negara Asia Tenggara yang baharu muncul kekal berdaya saing apabila membabitkan peluang pelaburan.

"Kerajaan di rantau ini mesti mengukuhkan rangka kerja institusi, memperdalamkan integrasi serantau untuk memanfaatkan sumber dan peluang unik bagi setiap negara, selain memaksimumkan impak sosial dengan memanfaatkan aliran modal global untuk memajukan pembangunan," kata Ketua Jabatan Penyelidikan Milken Institute, Claude Lopez.

Penilaian tahunan itu dibuat Milken Institute untuk membantu memaklumkan keputusan pelaburan global pelabur dan pembuat dasar, menilai sebuah landskap pelaburan ekonomi dengan menggunakan pembolehubah seperti prospek ekonomi makro, akses kepada perkhidmatan kewangan, potensi untuk inovasi dan pembangunan masa depan.

Indeks Peluang Global 2022 itu termasuk satu laporan yang memberi tumpuan kepada Asia Tenggara yang baharu muncul, rantau yang mana kemasukan modal boleh membawa kepada peningkatan inovasi, penciptaan peluang pekerjaan dan berdaya saing.

Asia Tenggara yang baharu muncul mendapat markah yang baik berbanding dengan ekonomi baharu muncul dan ekonomi membangun lain dalam tiga bidang utama iaitu prestasi ekonomi yang kukuh; menawarkan tenaga kerja berkelayakan tinggi dan bersepadu teguh dengan ekonomi global.

Bagi membina indeks, Milken Institute menilai peluang pelaburan melalui 100 pembolehubah yang disusun kepada lima kategori dan 14 sub-kategori.

Lima kategori utama termasuk Persepsi Perniagaan; Perkhidmatan Kewangan; Piawaian & Dasar Antarabangsa; Asas Ekonomi dan Rangka Kerja Institusi.

Pembolehubah di dalam kategori itu mengukur semua sudut bagi potensi pelaburan negara, termasuk keterbukaan dan prestasi ekonomi, kekangan perniagaan serta bakat dan kepelbagaian tenaga kerja.

Sumber data termasuk Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa dan Pertukaran Data Kesihatan Global.

Penemuan utama daripada Indeks Peluang Global 2022 itu termasuk Sweden mengekalkan kedudukan pertama dari 2021 sebagai negara paling berpotensi untuk menarik pelaburan asing, diikuti oleh United Kingdom (UK) di tempat kedua dan Denmark di tempat ketiga.

Amerika Syarikat (AS) jatuh dari tempat ketiga pada 2021 ke tempat kesembilan tahun ini, didorong oleh asas ekonomi dan keadaan kewangan yang lemah.

Berita Harian X