Khamis, 27 Januari 2022 | 1:02pm
QR rentas sempadan membolehkan pembayaran pantas, selamat dan cekap - Foto hiasan
QR rentas sempadan membolehkan pembayaran pantas, selamat dan cekap - Foto hiasan

Malaysia, Indonesia mula pembayaran QR rentas sempadan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan yang membolehkan pembayaran pantas, selamat dan cekap antara Malaysia dengan Indonesia.

Melalui jalinan ini, pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard) yang dipaparkan oleh peniaga di premis dan secara dalam talian.

Fasa rintis untuk pelancaran komersial penuh pada suku ketiga 2022 bermula hari ini.

Jalinan itu juga akan diperluas pada masa hadapan bagi menyokong aktiviti kiriman wang rentas sempadan, menyaksikan pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pindahan dana secara masa nyata dengan mudah.

Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian, berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia adalah pencapaian penting dalam kerjasama erat antara kedua- dua negara yang sudah lama terjalin.

"Selain itu, fasa kedua jalinan pembayaran juga sudah bermula minggu ini. Perkembangan sebegini akan membawa kita lebih dekat ke arah merealisasikan visi mewujudkan rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas dan cekap.

"Hal ini seterusnya akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan supaya individu serta peniaga dapat meraih manfaat," katanya menerusi satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Gabenor BI, Doni P. Joewono, pula berkata inisiatif itu menghubungkan pembayaran rentas sempadan melalui kesalinghubungan kod QR kebangsaan dua negara dan juga satu lagi pencapaian dalam Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.

Katanya, BI menyedari kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas

sempadan dan berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif

seumpama ini.

"Inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam ruang pembayaran rentas sempadan. Usaha ini juga akan menjadi langkah penting untuk meningkatkan kecekapan transaksi, menyokong pendigitalan dalam sektor perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCS)," katanya.

Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan di kedua-dua negara di bawah pengawasan bersama BNM dan BI.

Ia termasuk termasuk Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (ASPI) dan RAJA (Rintis, Artajasa, Jalin and Alto) selaku pengendali sistem pembayaran; CIMB Bank Bhd, Bank Mandiri dan Bank Negara Indonesia sebagai bank penyelesaian; serta bank-bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank dari kedua-dua negara yang mengambil bahagian.

Berita Harian X