Khamis, 27 Januari 2022 | 12:37pm
Harga komoditi utama meningkat pada kadar lebih rendah, namun tekanan inflasi masih berterusan - Foto fail NSTP
Harga komoditi utama meningkat pada kadar lebih rendah, namun tekanan inflasi masih berterusan - Foto fail NSTP

Harga barangan pengeluar terus meningkat

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR), yang mengukur purata perubahan harga yang dikenakan oleh pengeluar barangan dalam sesuatu industri meningkat 10 peratus pada Disember 2021.

Peningkatan itu adalah kesan daripada harga komoditi utama yang meningkat pada kadar lebih rendah, namun tekanan inflasi masih berterusan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan IHPR Pengeluaran Tempatan, Disember 2021 yang diterbitkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Disember 2021

disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 45.1 peratus berbanding kejatuhan 40 peratus yang dicatatkan pada Disember 2020.

Beliau berkata, harga minyak mentah (46.8 peratus) dan gas asli (37 peratus) yang lebih tinggi menyumbang kepada kenaikan ini.

Katanya, indeks pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat pada kadar sederhana iaitu 10.9 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks perikanan (12.4 peratus), pengeluaran ternakan (11.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (11.2 peratus).

"Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 7.6 peratus berbanding peningkatan marginal 0.2 peratus yang dicatatkan pada setahun yang lalu. Kenaikan ini disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (22.3 peratus), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (18.1 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (15.6 peratus).

"Selain itu, indeks bagi subsektor ppembuatan produk plastik, pembuatan

produk getah dan pembuatan besi & keluli asas turut meningkat. Indeks utiliti merekodkan peningkatan secara marginal masing-masing dengan 0.9 peratus dan 0.7 peratus bagi indeks bekalan air dan indeks bekalan elektrik & gas," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 21.4 peratus berbanding penurunan 10 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan dipengaruhi terutama oleh harga yang lebih tinggi bagi komoditi bukan makanan antaranya minyak mentah, buah tandan segar kelapa sawit dan bahan bakar selain diesel.

Berbanding inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara lain, beliau berkata IHPR di China meningkat 10.3 peratus pada Disember 2021 berbanding 12.9 peratus yang dicatatkan pada November 2021.

"Sementara itu, IHPR di Taiwan meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021 berbanding peningkatan 14.2 peratus yang dicatatkan pada November 2021.

"Pada Disember 2021, IHPR di Amerika Syarikat (AS) meningkat 9.7 peratus tahun ke tahun," katanya.

Berita Harian X