Khamis, 27 Januari 2022 | 11:08am
Kerja di ladang sawit biasanya dianggap sebagai berbahaya, sukar dan kotor - Foto Bloomberg
Kerja di ladang sawit biasanya dianggap sebagai berbahaya, sukar dan kotor - Foto Bloomberg

Krisis kekurangan pekerja ladang sawit meruncing

KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan sawit di Malaysia berdepan realiti sukar kerana di sebalik rali harga yang tinggi, terdapat ribuan pekerjaan yang tidak dimahukan oleh sesiapa.

Walaupun harga tinggi kebiasaannya menggalakkan penanaman dan pengeluaran hasil, output di Malaysia yang juga pengeluar sawit kedua terbesar dunia merosot ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada 2021 dan syarikat-syarikat menjelaskan bahawa puncanya adalah disebabkan kekurangan pekerja yang paling buruk pernah dialami industri itu.

Output di negara pengeluar terbesar, Indonesia turut merosot. Perkembangan ini penting kepada inflasi makanan global kerana kedua-dua negara merangkumi lebih 80 peratus bekalan global dan penggunaan minyak makan untuk segala-galanya, daripada makanan hinggalah sabun dan bahan api semakin meningkat.

"Jumlah sawit yang ada di pasaran adalah tetap dan tidak meningkat dengan banyak," kata ketua firma perundingan LMC International di Asia Tenggara, Julian Conway McGill.

"Namun, dunia memerlukan lebih banyak minyak sayuran untuk makanan. Kita perlu meningkatkan pengeluaran."

Harga sawit turun dan naik apabila pelabur mempertimbangkan permintaan lebih lemah bagi minyak tropika itu berbanding bekalan yang sempit di tengah-tengah masalah cuaca dan pekerja di Malaysia.

Tidak diminati rakyat tempatan kerana dianggap kotor, berbahaya dan sukar, kerja menuai di ladang Malaysia kebanyakannya dilakukan oleh pekerja asing yang merangkumi kira-kira 85 peratus tenaga kerja.

Syarikat perladangan berdepan penurunan bekalan pekerja selama beberapa tahun kerana kebanyakannya yang juga rakyat Indonesia, memilih untuk kembali ke negara mereka kerana tawaran gaji lebih baik atau memilih pekerjaan di bandar.

"Di Malaysia, terdapat masalah imej apabila memperkatakan mengenai buruh manual dan kerja ladang," kata McGill semasa dihubungi.

"Rakyat tempatan tidak mahu melakukannya kerana mereka menganggap ia sukar dan tidak bergaya."

Kekurangan pekerja diburukkan lagi apabila pandemik menutup sempadan dan kerajaan melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja asing, sekali gus menutup akses kepada pekerja bagaru.

Pengeluaran buah tandan segar jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga dekad tahun lalu, mengakibatkan pengeluaran paling rendah sejak 2016.

"Pandemik membuka mata kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Wahab.

MPOA mewakili 40 peratus kawasan perladangan sawit di Malaysia.

"Sejak dua tahun lalu tiada pekerja yang dayang. Kami dapat meneruskan kelangsungan hanya disebabkan harga adalah amat baik."

Stok sawit di Malaysia mencatatkan penurunan mengejutkan setakat akhir Mei lalu apabila pengeluaran susut buat kali pertama dalam tempoh empat bulan.

Tanpa pekerja yang mencukupi, syarikat perladangan terpaksa mengurangkan pusingan menuai dan membiarkan buah yang sudah masak, rosak di atas pokok.

Walaupun kekurangan pengeluaran melonjakkan rali global ke atas minyak makan, syarikat perladangan kehilangan sejumlah besar potensi pendapatan.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Disember menganggarkan industri sawit kehilangan AS$3.4 bilion tahun lalu, dengan kekurangan penuai dan pengutip buah mencecah lebih daripada 25,000 orang setakat Ogos.

Antara syarikat yang merayu kepada rakyat tempatan adalah Sime Darby Plantation Bhd, pengeluar terbesar dunia dari segi kawasan.

Namun, walaupun menawarkan pendapatan yang stabil dan manfaat seperti rumah percuma, utiliti bersubsidi dan penjagaan harian, maklum balas yang diterima adalah hambar.

"Kerja di ladang biasanya dianggap sebagai berbahaya, sukar dan kotor," menurut syarikat itu.

"Ini menjadi satu stigma yang perlu diatasi oleh industri."

-Bloomberg

Berita Harian X