Khamis, 27 Januari 2022 | 10:11am
Asas penawaran dan permintaan kekal meyakinkan bagi harga minyak - Foto Reuters
Asas penawaran dan permintaan kekal meyakinkan bagi harga minyak - Foto Reuters

Harga minyak tertinggi tujuh tahun, melepasi AS$90 setong

LONDON: Minyak mentah Brent melepasi AS$90 setong, paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun susulan ketegangan geopolitik yang berlaku di Ukraine dan kebimbangan berhubung bekalan di Asia Barat.

Penanda aras Eropah, minyak mentah Brent North Sea melonjak sehingga AS$90.42 pada sesi dagangan tengah hari di London, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Oktober 2014.

Kontrak itu kemudiannya berada pada AS$90.23, naik 2.3 peratus berbanding Selasa.

"Ini berlaku untuk seketika walaupun harga sedikit berkurang minggu lalu di mana terdapat sedikit jangkaan kepada sebarang petunjuk penyusutan semula yang ketara," kata Penganalisis OANDA, Craig Erlam.

"Dengan harga kini melepasi AS$90 dan mengumpul momentum sekali lagi, mungkin ia hanya menunggu masa untuk berlegar pada paras AS$100.

"Asas (penawaran dan permintaan) kekal meyakinkan bagi harga minyak dan prospek pencerobohan Rusia ke atas Ukraine hanya akan meningkatkan premium risiko."

Sementara itu, saham-saham di Wall Street kebanyakannya berakhir rendah selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell memberi isyarat kenaikan kadar faedah berkemungkinan pada Mac ini di tengah-tengah kenaikan inflasi.

Indeks utama Eropah berakhir kukuh dan saham-saham AS pada awalnya positif menjelang sidang akhbar Powell selepas mesyuarat dasar dua hari bank pusat itu, namun kemudiannya menjunam, dengan indeks meluas S&P susut 0.2 peratus.

Pegawai Fed terus menjangkakan gelombang kenaikan harga, yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad pada 2021, akan reda tahun ini apabila faktor seperti kemelut rantaian bekalan yang berpunca daripada pandemik, mula diselesaikan.

- AFP

Berita Harian X