Khamis, 27 Januari 2022 | 9:36am
Ahli lembaga pengarah syarikat dalam GEI merangkumi 31 peratus wanita - Foto hiasan
Ahli lembaga pengarah syarikat dalam GEI merangkumi 31 peratus wanita - Foto hiasan

Empat syarikat Malaysia tersenarai indeks kesaksamaan jantina

KUALA LUMPUR: Bloomberg menyenaraikan Bursa Malaysia Bhd, DiGi.Com Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Top Glove Corp Bhd sebagai empat syarikat dari Malaysia termasuk dalam Indeks Kesaksamaan Jantina (GEI) Bloomberg 2022.

GEI mengiktiraf syarikat senaraian awam yang telus dari segi amalan dan dasar berkaitan jantina, sekali gus meningkatkan kedalaman data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang disediakan kepada pelabur.

Ini kali pertama Top Glove terbabit dan termasuk di dalam senarai bagi data berkaitan jantina.

Tahun ini, GEI merangkumi 408 syarikat merentasi 45 negara dan wilayah, dengan rekod tertinggi syarikat yang mendedahkan data masing-masing menggunakan Rangka Kerja GEI, meningkat 20 peratus daripada 380 syarikat pada 2021.

Peningkatan itu dicatatkan walaupun maklumat yang diminta untuk menyokong data ESG lebih mantap kepada pelabur diperluaskan.

Firma-firma dalam indeks 2022 memiliki gabungan permodalan pasaran AS$16 trilion, meningkat daripada AS$14 trilion tahun lalu.

Pengerusi Bloomberg, Peter T. Grauer, berkata perubahan cara kerja disebabkan pandemik menunjukkan kepentingan untuk menangani isu-isu kesaksamaan jantinta dalam pasaran tenaga kerja global yang pantas berubah.

"GEI Bllomberg mengiktiraf syarikat-syarikat yang mengekalkan fokus kukuh untuk menyediakan persekitaran kerja inklusif dengan menyokong perubahan keperluan pekerja selain mengekalkan kekuatan daya saing menerusi kepelbagaian jantina, yang semakin penting dalam persekitaran perniagaan serba mencabar," katanya dalam satu kenyataan.

Skor kecemerlangan indeks itu dibahagikan kepada empat tonggak iaitu kempimpinan dan barisan bakat wanita, kesaksamaan dan keadilan gaji, budaya keterangkuman, dasar anti gangguan seksual dan jenama pro wanita.

Secara purata, ahli lembaga pengarah syarikat dalam GEI merangkumi 31 peratus wanita dan 72 peratus mempunyai Ketua Pegawai Kepelbagaian atau eksekutif dengan tanggungjawab utamanya adalah keterangkuman.

Syarikat terbabit secara purata mempunyai 39 peratus wanita dalam jawatan yang menjana pendapatan dan lebih daripada separuh (61 peratus) memerlukan kepelbagaian calon bagi jawatan pengurusan.

Secara purata juga, syarikat-syarikat dalam indeks berkenaan menggaji lebih ramai wanita, 83 peratus mempunyai strategi langsung untuk mengambil kakitangan wanita dan 66 peratus melaksanakan semakan gaji berdasarkan jantina global.

Syarikat terbabit juga berkemungkinan lebih besar untuk melaksanakan dasar mesra keluarga, sebagai contoh 75 peratus menawarkan bilik penyusuan dan 59 peratus menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak atau sokongan kewangan lain.

Berita Harian X