Rabu, 26 Januari 2022 | 12:55pm
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz

MDEC permudah pembiayaan kepada syarikat fintech

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan ASEAN Fintech Group (AFG) menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh inisiatif yang bertujuan meningkatkan syarikat teknologi kewangan (fintech) Malaysia.

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu aliran urus niaga, sokongan ekosistem fintech dan peluasan bersama.

"MDEC akan menguruskan aliran urus niaga dan menyalurkan syarikat fintech Malaysia yang berpotensi kepada AFG.

"AFG, melalui rangkaian serantaunya, akan meninjau peluang kemudahan pembiayaan untuk syarikat teknologi Malaysia, terutama syarikat permulaan fintech, untuk potensi pelaburan dan pengambilalihan," kata pihak-pihak terbabit dalam kenyataan bersama semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata kerjasama itu akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada syarikat dalam memajukan perniagaan mereka, dengan akses kepada pasaran dan pembiayaan serantau.

Menurut kenyataan itu, kerjasama sinergi terbabit akan memberi peluang kepada AFG untuk memacu syarikat permulaan dan menambah nilai kepada rangkaian fintech Malaysia yang kukuh melalui peruntukan modal, teknologi, sokongan infrastruktur yang cekap serta rangkaian luas pembuat keputusan utama dan peneraju industri dari pelbagai sektor dan syarikat.

Pengarah Eksekutif AFG, Lau Kin Wai, berkata Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang kondusif, disokong oleh tenaga kerja yang ramai dan infrastruktur serta ekosistem syarikat permulaan yang berkembang pesat dipenuhi dengan idea, produk dan perkhidmatan yang berpotensi tinggi.

"Kami melihat potensi besar dalam program MDEC, itu sebabnya kami memilih Malaysia sebagai hab pilihan kami untuk berkembang ke rantau ASEAN," katanya.

Ditubuhkan pada 2017, AFG menyasarkan untuk mewujudkan nilai akretif dengan mendigitalkan aliran wang dan perdagangan dalam satu daripada pasaran geo teknologi kewangan yang paling pesat berkembang di Asia.

Berita Harian X