Rabu, 26 Januari 2022 | 12:45pm
Permintaan minyak sawit India masih tidak mencecah paras prapandemik - Foto Reuters
Permintaan minyak sawit India masih tidak mencecah paras prapandemik - Foto Reuters

Permintaan minyak sawit dari India dijangka merosot

H: Permintaan minyak sawit dari India dijangka merosot

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan permintaan minyak sawit di India akan berkurangan pada 2022, berikutan harga semasa komoditi itu yang mahal, selain pengeluaran domestik dan duti import terkini juga lebih tinggi.

Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng, berkata perkembangan itu sekali gus memberi kelebihan kepada minyak kacang soya.

"Kami terus menjangkakan asas bekalan pada tahun ini akan bertambah

baik dengan harga minyak sawit mentah (MSM) menurun pada separuh kedua

2022, manakala penilaian akan kekal terjejas oleh risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, daripada pertemuan dengan Pengarah Serantau MPOC, Bhavna Shah, baru-baru ini, permintaan minyak sawit India masih tidak

mencecah paras prapandemik dengan import sejak awal tahun ke November 2021 adalah 13 peratus di bawah paras awal tahun hingga November 2019.

Katanya, peratusan pasaran minyak sawit daripada jumlah import minyak makan mendatar dengan kini berada pada 61 peratus.

"COVID-19 terus memberi kesan pada permintaan dalam sektor hotel,

restoran dan kafe (HORECA) dengan India sekarang mengalami lonjakan kes

akibat Omicron.

"Walaupun India belum melaksanakan sekatan pergerakan penuh, sekatan dijalankan di beberapa negeri tertentu yang berada dalam zon merah dan ini termasuklah larangan untuk makan di restoran, kapasiti tenaga kerja 50 peratus, selain penutupan sekolah dan gimnasium.

"Memandangkan minyak sawit paling banyak digunakan dalam sektor HORECA dan perindustrian, sekatan ini akan menjejaskan permintaan pada masa hadapan. Selain itu, kami mendapat tahu bahawa pembeli di India kini membeli minyak sawit hanya mengikut keperluan kerana harga semasa yang mahal," katanya.

Lee Leng berkata, MPOC menjangkakan import minyak sawit Indoa akan susut lima peratus tahun ini kepada 8.2 juta tan, dengan harga MSM yang tinggi ketika ini mengekang permintaan.

Katanya, India juga bakal mencatatkan pengeluaran biji minyak domestik yang lebih tinggi pada 2022, khususnya daripada keluaran biji sesawi, sekali gus akan menjejaskan permintaan import.

"Selain itu, struktur duti import semasa menguntungkan minyak kacang soya (SBO) mentah kerana duti yang dikenakan ke atas SBO ialah 5.5 peratus, iaitu 275 mata asas (bps) lebih rendah berbanding duti yang dikenakan

pada MSM (8.25 peratus), manakala minyak sawit tertapis dikenakan duti lebih tinggi 13.75 peratus.

"Memandangkan jurang harga antara SBO dengan CPO agak kecil sekarang, adalah lebih mudah untuk mengimport SBO di India," katanya.

Berita Harian X