Rabu, 12 Januari 2022 | 1:32pm
Stok MSM bagi Disember 2021 jatuh 11.89 peratus kepada 830,339 tan - Foto BERNAMA
Stok MSM bagi Disember 2021 jatuh 11.89 peratus kepada 830,339 tan - Foto BERNAMA

Harga sawit terus kekal tinggi awal 2022

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi di awal 2022 dengan stok simpanan yang rendah menyokong harga komoditi itu untuk terus melepasi paras RM5,000 satu tan, demikian menurut peniaga dan penganalisis sawit.

Harga MSM melepasi paras RM5,000 buat pertama kali pada Oktober tahun lalu dengan terus meningkat sehingga ke paras tinggi RM5,444 satu tan didorong oleh kekurangan tenaga kerja di Malaysia, keadaan cuaca yang kurang memberangsangkan dan peningkatan dalam minyak boleh dimakan pesaing.

Peniaga sawit, David Ng, berkata pasaran akan disokong oleh sentimen terhadap output yang lemah dan paras stok semasa yang rendah di negara ini.

Justeru, beliau berkata, keadaan itu akan menyokong harga MSM untuk kekal di paras tinggi dengan melepasi paras RM5,000 satu tan.

"Dijangkakan julat harga MSM bagi minggu ini ialah antara RM4,900 dan RM5,300 satu tan," katanya kepada BH.

Mengikut harga penutup terkini, kontrak semasa niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives, Januari 2022 ditutup pada paras RM5,300 satu tan, manakala kontrak penanda aras, Mac 2022 pada paras RM5,069 satu tan.

Menurut perangkaan MPOB, stok MSM bagi Disember 2021 jatuh 11.89 peratus kepada 830,339 tan berbanding 942,354 tan bulan sebelumnya berikutan pengeluaran dan eksport yang rendah.

Ia berkata, inventori minyak sawit diproses di negara ini pada akhir Disember turut menyusut 13.95 peratus bulan ke bulan kepada 752,701 tan berbanding 874,707 tan.

Justeru, katanya, secara keseluruhannya, stok jatuh 12.88 peratus kepada 1.58 juta tan berbanding 1.82 juta tan sebelumnya.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata, harga MSM akan kekal tinggi buat masa ini berikutan risiko cuaca di rantau ini dan di Amerika Selatan.

Ia berkata, harga baja yang tinggi, gangguan bekalan baja dan kekurangan tenaga kerja di Malaysia mungkin menjadi penyebab hasil minyak sawit berada di bawah jangkaan pada 2022.

Katanya, musim kitaran penurunan sejak November 2021 berterusan pada Disember lalu menyebabkan output terus susut kepada 1.45 juta tan, 11 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

"Selain output rendah, penggunaan domestik tinggi dan eksport yang agak berdaya tahan juga menyumbang kepada penurunan stok simpanan pada Disember 2021.

"Mengikut geografi, eksport secara umumnya rendah bulan ke bulan kepada semua pasaran utama eksport kecuali Kesatuan Eropah (EU), Turki, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X