Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:45pm
Kekurangan pekerja ladang sangat kritikal sehingga menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh - Foto hiasan
Kekurangan pekerja ladang sangat kritikal sehingga menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh - Foto hiasan

Sektor ladang sedia ambil pekerja Bangladesh, India

KUALA LUMPUR: Bangladesh dan India adalah antara negara sumber tenaga kerja asing pilihan selain Indonesia bagi mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan di negara ini, demikian menurut peserta industri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Abdul Wahab, berkata keutamaan bagi peserta industri perladangan sememangnya adalah mengambil pekerja dari Indonesia, memandangkan mereka mempunyai pengalaman selain cekap untuk menguruskan penuaian sawit.

Namun begitu, beliau berkata sekiranya tiada pilihan dan berkemungkinan lambat memperoleh tenaga kerja dari republik itu, peserta industri bersedia untuk mengambil tenaga kerja dari kedua-dua negara alternatif berkenaan.

Katanya, ini memandangkan kekurangan pekerja ladang ketika ini sangat kritikal sehingga menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh dan mengurangkan kualiti tandan buah segar.

"Kami sememangnya berharap mendapatkan tenaga kerja dari Indonesia secepat mungkin. Namun, kami akan cuba untuk mendapatkan tenaga kerja dari Bangladesh dan India jika lambat mendapatkan tenaga kerja dari Indonesia," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai negara sumber pilihan bagi mendapatkan tenaga kerja asing selain Indonesia.

Mohamad Nageeb berkata, peserta industri perladangan juga bersedia untuk menanggung kos kemasukan pekerja asing dan menyediakan pusat kuarantin untuk mempercepatkan kemasukan tenaga ke dalam sektor perladangan tempatan.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan dan keperluan penting bagi peserta perladangan kini adalah mendapatkan kelulusan.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk mengambil 32,000 pekerja asing dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya melaksanakan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara langsung dengan negara luar bagi menangani isu kekurangan pekerja dan memastikan kelestarian bekalan pada masa hadapan.

TA Securities dalam notanya berkata, pengeluaran minyak sawit mentah di Malaysia dalam tempoh 11 bulan 2021 menyusut sebanyak 6.4 peratus kepada 16.7 juta tan, sementara secara keseluruhan, hasil buah tandan segar adalah sebanyak 14.2 tan sehektar, yang mana masih di bawah sejarah purata hasil lima tahun sebanyak 15.6 tan sehektar.

Melangkah ke 2022, ia menjangkakan dengan pekerja asing akan kembali ke Malaysia secara berperingkat, pemulihan secara beransur-ansur dapat dilihat pada permulaan dan peningkatan yang ketara pada separuh kedua selepas pekerja asing telah melalui empat peringkat SOP, orientasi dan latihan syarikat.

"Kami difahamkan bahawa pekerja asing yang sudah meninggalkan negara akan menjadi kumpulan pertama pulang ke Malaysia. Pada pandangan kami, ini boleh membantu untuk memendekkan tempoh latihan.

"Kami menjangkakan pengeluaran MSM yang lebih baik pada 2022 untuk mencapai 19.2 juta tan (peningkatan enam peratus)," katanya.

Berita Harian X