Jumaat, 31 Disember 2021 | 2:09pm
Kadar inflasi sektor pembuatan di Malaysia kekal tinggi - Foto hiasan
Kadar inflasi sektor pembuatan di Malaysia kekal tinggi - Foto hiasan

Kos pengeluaran barang terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kos pengeluaran barang akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menerusi unit penyelidikannya, MIDF Research berkata, jangkaan peningkatan adalah berdasarkan kepada beberapa faktor seperti lonjakan harga input dan kekangan logistik.

Selain itu, katanya keadaan cuaca yang tidak menentu terutama hujan lebat baru-baru ini turut menimbulkan risiko tinggi kepada Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dalam sektor pertanian.

"Disebabkan itu, kami berpendapat faktor inflasi tolakan kos akan mengekalkan Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota hari ini.

IHPR pengeluaran tempatan berfungsi untuk mengukur inflasi dari perspektif pengeluar, manakala IHP pula mengukur inflasi utama.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan terkininya menyatakan IHPR meningkat 12.6 peratus pada November lalu, terutama didorong oleh lonjakan kos bahan mentah.

Ia turut menjadikan lapan bulan berturut-turut indeks berkenaan mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.

MIDF Research menambah, kadar inflasi sektor pembuatan di Malaysia kekal tinggi walaupun secara asasnya berkurangan kepada 12.6 peratus tahun ke tahun.

Kadar IHPR itu, katanya disokong oleh harga komoditi yang tinggi di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan.

"Tekanan inflasi yang lebih kuat berpunca daripada inflasi IHPR yang lebih pantas bagi sektor pembuatan, terutama harga pengeluar yang tinggi untuk sayuran, minyak dan lemak haiwan serta produk petroleum bertapis," katanya.

Berita Harian X