Rabu, 29 Disember 2021 | 11:38am
Harga penanda aras MSM mencecah paras penutup tertinggi dalam sejarah pada RM5,071 satu tan tahun ini - Foto Bloomberg
Harga penanda aras MSM mencecah paras penutup tertinggi dalam sejarah pada RM5,071 satu tan tahun ini - Foto Bloomberg

Harga sawit terus melonjak sehingga awal 2022

KUALA LUMPUR: Peningkatan harga sawit mungkin kekal sehingga awal 2022 apabila isu kekurangan pekerja yang meruncing di Malaysia dan hujan lebat di beberapa kawasan penanaman utama, menjejaskan pengeluaran minyak masakan yang paling banyak digunakan di dunia itu.

Ia boleh menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat selepas mencecah paras tertinggi pada tahun ini apabila niaga hadapan penanda arasnya melonjak ke paras penutup tertinggi dalam sejarah pada RM5,071 satu tan.

Walaupun Malaysia berusaha mempercepatkan ketibaan pekerja asing yang amat diperlukan bagi sektor perladangan, penularan Omicron mungkin menjejaskan perancangan itu, sekali gus mengehadkan kerja penuaian dan menyempitkan lagi bekalan.

Ketua Dagangan dan Strategi Lindung Nilai Kaleesuwari Intercontinental di Mumbai, Gnanasekar Thiagarajan, berkata terdapat kemungkinan untuk harga sawit mencatatkan paras tertinggi baharu sekitar RM5,200 satu tan pada suku pertama tahun depan, apabila kekurangan bekalan berlaku pada musim pengeluaran yang rendah dan permintaan musim perayaan semasa Tahun Baru Cina.

"Namun, dalam suku berikutnya, harga akan ditekan oleh bekalan dan mungkin akan susut kepada RM3,975 atau lebih rendah lagi," katanya.

Kekurangan pengeluaran di Malaysia, yang mencetuskan peningkatan harga sawit tahun ini dijangka berterusan sehingga awal 2022, memandangkan syarikat perladangan mungkin tidak akan menerima pekerja baharu sehingga pertengahan tahun.

Ia berkemungkinan akan terus mengehadkan output dan berpotensi melonjakkan niaga hadapan penanda aras pada Januari dan Februari, demikian menurut pengasas Palm Oil Analytics di Singapura, Sathia Varqa.

"Jika janji ditepati, kita akan melihat pekerja di ladang pada Mei hingga Jun," kata Varqa sambil menambah perkembangan itu akan meningkatkan pengeluaran dengan ketara.

Output dijangka meningkat enam peratus kepada 19.2 juta tan tahun depan jika pekerja kembali, katanya.

Namun, unjuran itu bergantung kepada Omicron. Penularan varian baharu COVID-19 itu berpotensi menyebabkan sekatan pergerakan dan perjalanan, sekali gus menghalang pekerja baharu tiba di ladang.

Di Indonesia yang juga pengeluar sawit terbesar dunia, corak pengeluaran berkemungkinan kembali normal tahun depan, dengan hasil pada suku pertama adalah yang paling rendah, demikian menurut Naib Pengerusi Persatuan Sawit Indonesia (Gapki), Togar Sitanggang.

Beliau mengunjurkan peningkatan kira-kira tiga peratus output sepanjang tahun kepada 48 juta tan.

Perhatian kini tertumpu kepada La Nina, cuaca yang menyebabkan keadaan lebih kering di kawasan penanaman utama Amerika Selatan dan hujan lebih lebat di kawasan ladang Indonesia dan Malaysia, selain ke Australia.

Pelabur industri pertanian bimbang ancaman La Nina akan menjejaskan pasaran makanan global dalam beberapa bulan akan datang.

Ia sudah pun menjejaskan sebahagian kawasan di Brazil dan Argentina, pengeluar utama pesaing sawit, iaitu kacang soya.

Di Malaysia, hujan berterusan menenggelamkan sebahagian kawasan di Pahang dan Selangor bulan ini, menjejaskan penuaian dan logistik estet sawit, selain menyebabkan operasi di Pelabuhan Klang, yang juga pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara selama beberapa hari.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan monsun akan menyebabkan hujan lebih lebat sehingga 2 Januari ini.

Kekurangan pekerja bukan satu-satunya penyebab pengeluaran terjejas.

Kenaikan harga baja akan mendesak pengeluar, khususnya pekebun kecil mengurangkan penggunaan nutrien untuk sawit dan berpotensi menjejaskan pemulihan pengeluaran.

"Kos pengeluaran sawit berdasarkan harga baja semasa dianggarkan 15 hingga 20 peratus lebih tinggi pada 2022 berbanding setahun lalu," kata Pengarah Penyelidikan Perladangan ASEAN UOB Kay Hian, Leow Huey Chuen.

"Harga MSM yang tinggi boleh menampung kenaikan kos, namun memastikan baja dihantar mengikut jadual menjadi satu lagi cabaran."

-Bloomberg

Berita Harian X