Isnin, 27 Disember 2021 | 2:55pm
Pemandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan, Pahang - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pemandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan, Pahang - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Industri perladangan tak terkesan teruk dengan banjir

KUALA LUMPUR: Sektor perladangan tidak terjejas teruk dengan banjir yang melanda di lapan negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Abdul Wahab, berkata kesan banjir kali ini memberi kesan minimum kepada sektor perladangan selain tidak menjejaskan harga minyak sawit mentah (MSM).

Katanya, tidak banyak ladang yang berdepan dengan banjir di Semenanjung Malaysia, manakala kawasan perumahan pekerja yang terkesan juga sudah diberikan bantuan oleh majikan masing-masing.

"Ada (sektor perladangan terjejas dengan banjir), namun tidak begitu besar. Ada kawasan yang terganggu dan tersekat dengan banjir, tetapi namun kami dapat menanganinya.

"Selain itu, rumah pekerja yang terbabit dengan banjir pula tidak berapa ketara dan tindakan telah diambil oleh majikan mereka untuk membantu.

"Dari segi harga, kami jangkakan tidak akan terjejas disebabkan oleh musim tengkujuh kerana ia sudah sedia tinggi dan masih boleh bertahan. Kami menjangkakan harga MSM akan kekal di antara RM4,500 hingga RM5,000 satu tan," katanya kepada BH.

Kenanga Research dalam nota kajiannya berkata, setakat ini beberapa ladang terletak di Pahang, Selangor, Kelantan dan Terengganu terkesan dengan banjir.

Namun, ia berkata sekiranya hujan lebat berterusan, hanya dua hingga tiga peratus jumlah kawasan ladang dianggarkan terjejas meskipun kerosakan yang dialami adalah berkemungkinan bersifat sementara dan minimum.

"Pokok sawit sememangnya bergantung kepada hujan untuk tumbuh subur dan kerana itu sektor perladangan sudah biasa dengan hujan lebat atau banjir bermusim. Malah, banyak syarikat sudah melabur dalam infrastruktur untuk menghadapi hujan lebat.

"Selain itu, kelapa sawit adalah pokok yang kuat dan boleh menahan kebanyakan banjir. Pokok kelapa sawit juga adalah tinggi, dengan pokok muda berusia empat tahun sudah setinggi dua hingga tiga meter manakala pokok kelapa sawit berusia 10 tahun mempunyai ketinggian lima hingga enam meter.

"Aduan yang paling biasa mengenai banjir di ladang adalah ketidakupayaan untuk menuai dan mengutip buah-buahan. Bagaimanapun, banjir yang berpanjangan boleh merosakkan atau membunuh pokok sawit yang masih muda," katanya sambil menambah kesan sebenar ke atas ladang bergantung kepada lokasi, bentuk muka bumi dan keberkesanan sistem perparitannya.

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat seperti Hap Seng Plantations, Ta Ann atau TSH Resources langsung tidak mempunyai ladang di Malaysia Barat.

Katanya, FGV adalah yang paling banyak berpusat di Semenanjung Malaysia dengan 57 peratus daripada ladangnya terletak di Malaysia Barat, tetapi dipercayai kurang daripada tiga peratus daripada ladangnya mengalami banjir.

"Sime Darby Plantations pula memang mempunyai ladang di pesisir pantai Selangor dan kebun benih kelapa sawit mereka yang terkenal terletak di Banting, Selangor. Namun, kumpulan itu mempunyai kebun benih lain di Indonesia, Papua New Guinea selain di Tawau, Sabah," katanya.

Berita Harian X