Selasa, 21 Disember 2021 | 3:02pm
Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

Kerajaan komited basmi kemiskinan tegar menjelang 2025

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2025, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, selaras dengan komitmen itu, Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) ditubuhkan untuk menyelaras perkara dasar pembasmian kemiskinan di peringkat nasional.

"Unit ini bersama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) akan menyelaraskan strategi dan program bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar secara mampan," katanya ketika berucap merasmikan edisi terkini World Bank Malaysia Economic Monitor: Staying Afloat hari ini.

Mustapa berkata, dalam perkara membabitkan kemiskinan, kerajaan mengiktiraf input Bank Dunia dalam berkongsi amalan terbaik pembasmian kemiskinan.

Saya mengambil maklum laporan Bank Dunia baru-baru ini mengenai Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) di Malaysia, bertajuk 'Memperbaiki Pengukuran dan Dasar pada 2020'.

"Justeru, MPI Malaysia yang mula diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) terdiri daripada empat dimensi iaitu kesihatan, pendidikan, taraf hidup dan pendapatan.

"Dalam menjadikan pengukur MPI kami lebih inklusif, kerajaan akan mengambil kira cadangan Bank Dunia untuk menetapkan lebih banyak penunjuk pendapatan dan kemiskinan bukan pendapatan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menubuhkan kumpulan perbincangan meja bulat dikenali Poverty Circle pada Julai lalu yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, organisasi masyarakat sivil (CSO), badan korporat, ahli akademik dan pakar untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menangani kemiskinan.

"Enam sesi perbincangan meja bulat telah dilaksanakan dan beberapa input mereka telah menyumbang kepada penggubalan strategi untuk membasmi kemiskinan tegar.

"Pada Mac tahun depan, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, CSO dan sektor swasta, dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar di kawasan termiskin di Malaysia. Kami akan menggunakan pendekatan holistik dan bersasar untuk membasmi kemiskinan tegar di kira-kira lima puluh lokaliti di seluruh Malaysia.

"Tidak ada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua untuk kemiskinan. Strategi kami akan dibuat khusus, berdasarkan ciri unik setiap lokaliti," katanya.

Berita Harian X