Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:06pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohd Mustafa Abdul Aziz
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohd Mustafa Abdul Aziz

Eksport negara dijangka cecah RM1.2 trilion

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam landasan tepat mencapai nilai eksport sebanyak RM1.2 trilion tahun ini, sekali gus menjadikan pencapaian terbaik dalam sejarah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata nilai eksport yang bakal dicapai itu juga hampir mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjelang 2025 iaitu sebanyak RM1.25 trilion.

Beliau berkata, ia pencapaian yang membanggakan meskipun berdepan impak pandemik COVID-19 yang memberi gangguan kepada ekosistem perdagangan antarabangsa.

Katanya, pencapaian eksport yang memberangsangkan itu adalah berdasarkan kepada inisiatif ke hadapan kerajaan menangani impak pandemik COVID-19.

"Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada angka ini adalah langkah kerajaan membuka sektor ekonomi serta membenarkan sektor pembuatan beroperasi dengan pantas.

"Langkah itu memberikan kita peluang untuk menampung permintaan daripada negara lain terhadap produk eksport Malaysia terutamanya dalam elektrik dan elektronik (E&E).

"Eksport negara juga merekodkan nilai tertinggi pernah dicatatkan sebanyak RM114 bilion pada Oktober lalu," katanya selepas majlis pelancaran Tradex Exponanza 2021 (Tradex 2021) di sini, hari ini.

Mohd Mustafa berkata, MATRADE akan terus melaksanakan misi perdagangan dan membantu perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan dalam eksport.

Beliau berkata, lebih banyak inisiatif pemerkasaan perdagangan eksport akan dilaksanakan MATRADE pada tahun depan.

Sehubungan itu, katanya pameran Tradex 2021 menjadi penanda aras untuk mencapai pengukuhan yang lebih baik dalam kalangan PKS.

"PKS menjadi tunjang utama ekonomi negara dan pemulihannya perlu dilaksanakan dengan pantas. Ini kerana, PKS berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang pandemik.

"Kerajaan juga memberikan pelbagai sokongan pemulihan bagi memastikan PKS kekal berdaya saing. MATRADE akan memastikan sokongan tetap diteruskan merangkumi semua segmen perniagaan bagi membolehkan mereka melangkah ke pasaran global.

"Malah, pameran perdagangan berskala besar seperti Tradex 2021 akan menjadi batu loncatan kepada PKS memulakan perniagaan," katanya.

Berita Harian X