Isnin, 13 Disember 2021 | 7:15pm
Menara MATRADE. - NSTP/Surianie Mohd Hanif
Menara MATRADE. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung Tradex 2021

KUALA LUMPUR: Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan sokongan penuh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Tradex Exponanza 2021 (Tradex 2021) pada 17 hingga 22 Disember, bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.

Penganjuran Tradex 2021 selaras dengan misi MATRADE sebagai barisan hadapan ekonomi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam pemulihan pasca pandemik.

Menerusi ekspo ini pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk gerai jualan oleh usahawan PKS dari seluruh negara yang menghasil dan mengusahakan pelbagai produk tempatan seperti kraf tangan, pakaian, produk kecantikan serta makanan dan minuman.

Lebih menarik, ekspo yang berlangsung selama enam hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini turut mengadakan Jualan Akhir Tahun Exponanza dengan pelbagai tawaran menarik.

Selain itu, terdapat pameran kerjaya, pesta trak makanan, pertunjukan program memasak daripada cef terkenal dan forum kesihatan. Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan tawaran hadiah menarik daripada pihak penganjur.

Ekspo juga menyediakan ruang menarik untuk pengunjung berswafoto berlatar belakangkan beberapa negara pelancongan terkenal seperti Korea, Jepun dan Thailand.

Tradex 2021 juga menyediakan mini zoo untuk memberi peluang kepada kanak-kanak melihat haiwan secara dekat, selain aktiviti permainan bersesuaian untuk seisi keluarga.

Aktiviti lain untuk pengunjung termasuk persembahan artis tempatan seperti Man Kidal, Hael Husaini, dan Azlan Typewriter.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melawat laman sosial media rasmi Facebook Page Tradex 2021.

Berita Harian X