Selasa, 30 November 2021 | 1:48pm
Harga komoditi yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) - NTSP/Danial Saad
Harga komoditi yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) - NTSP/Danial Saad

Harga barang pengeluar terus melonjak

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan terus merekodkan peningkatan dua angka untuk bulan ketujuh berturut-turut pada Oktober 2021 dengan kenaikan 13.2 peratus berbanding penurunan 3.6 peratus pada bulan sama tahun lalu, demikian mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kenaikan IHPR pengeluaran tempatan yang mengira kos barangan pada harga di pintu kilang dalam ekonomi tempatan dan menunjukkan inflasi dari perspektif pengeluar itu disumbangkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan itu disumbangkan terutama oleh indeks perlombongan yang melonjak 82.9 peratus berbanding penurunan 43.5 peratus pada Oktober 2020, didorong oleh harga komoditi petroleum dan gas asli yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan turut disokong oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang meningkat 24.8 peratus, diikuti oleh indeks pembuatan (7.9 peratus).

"Indeks utiliti mencatatkan peningkatan 0.7 peratus bagi indeks bekalan elektrik dan gas, manakala, indeks bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.7 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat satu peratus pada Oktober 2021 berikutan peningkatan 5.5 peratus dalam indeks perlombongan, yang dijangka kekal dalam aliran meningkat sehingga akhir tahun disebabkan pemulihan ekonomi global yang positif apabila permintaan meningkat semula walaupun berlaku kekangan bekalan terutama pada musim sejuk.

Selain itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.2 peratus disumbangkan oleh harga yang lebih tinggi bagi komoditi buah tandan segar kelapa sawit.

Harga bagi komoditi itu meningkat untuk bulan keempat berturut-turut pada Oktober 2021, sebahagian besarnya disokong oleh pengeluaran yang lemah akibat kekurangan buruh asing yang berterusan.

Indeks pembuatan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus disokong oleh indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (1.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (0.6 peratus) dan pembuatan komponen dan papan elektronik (0.1 peratus).

Selain itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta indeks bekalan air masing-masing mencatatkan peningkatan 0.4 peratus dan 0.1 peratus.

Mengenai jangkaan IHPR menjelang akhir tahun ini, Mohd Uzir berkata IHPR dijangka kekal tinggi sepanjang tahun ini berikutan peningkatan berterusan bagi kos input terutamanya dalam harga minyak mentah dan gas asli.

Beliau berkata, harga komoditi yang lebih tinggi mungkin memberi manfaat kepada ekonomi dan isi rumah Malaysia terutamanya yang terbabit dalam sektor utama.

Namun, katanya kenaikan yang berpanjangan boleh menyebabkan inflasi dan kos sara hidup dengan isi rumah merasai tekanan.

Berita Harian X