Selasa, 21 September 2021 | 1:41pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP

Belanjawan 2022 kekal bersifat pemulihan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini kekal sebagai belanjawan pemulihan untuk menyokong usaha pembaharuan kerajaan yang lebih meluas dan berjangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata berdasarkan tiga fokus utama Belanjawan 2022 iaitu memacu pemulihan ekonomi (recovery), membina semula daya tahan negara (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform), dengan bank dan institusi kewangan termasuk institusi kewangan pembangunan (DFI) akan memainkan peranan penting untuk terus maju.

"2022 akan menjadi tahun kritikal bagi Malaysia, tahun untuk bangkit dan memulakan bukan hanya pemulihan ekonomi, tetapi pemulihan industri, kehidupan dan pekerjaan, terutama pada mereka yang terjejas teruk kerana pandemik.

"Justeru, Belanjawan 2022 akan kekal bercirikan pengembangan dan berkonsepkan belanjawan pemulihan yang akan menyokong RMKe-12," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 secara maya hari ini.

Yang turut serta, Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh.

Tengku Zafrul berkata, memandangkan kesihatan sektor kewangan terikat dengan ekonomi yang lebih luas, penting bagi industri perbankan melipat ganda usaha dalam mendorong pemulihan ekonomi sambil menyokong kelangsungan perniagaan, terutama dalam memulakan perniagaan ketika ekonomi dibuka semula.

Dalam hal ini, katanya industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman kepada perniagaan dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif termasuk menyertai program iTEKAD yang membantu pengusaha mikro untuk memula serta mempertahankan perniagaan mereka.

"Industri ini juga mesti menyediakan kemudahan berasaskan bukan hutang seperti skim mudah tunai CAKNA dan Jana Niaga yang melegakan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan tahap hutang mereka.

"Bank-bank juga harus menggalakkan pembayaran digital, termasuk melalui penyertaan pedagang kecil untuk menerima pembayaran QR selain memastikan bayaran yuran peniaga yang berpatutan, di samping menyokong melalui berbagai skim pembiayaan seperti segmen peminjam yang paling kurang mendapat perkhidmatan/layanan, baik di sektor perhotelan, perusahaan mikro atau pengusaha wanita," katanya.

Berita Harian X