Jumaat, 17 September 2021 | 11:08am
China adalah ekonomi kedua terbesar di dunia - Foto hiasan
China adalah ekonomi kedua terbesar di dunia - Foto hiasan

China hantar permohonan rasmi sertai CPTPP

BEIJING: China secara rasmi memohon untuk menyertai kerjasama perdagangan trans-Pasifik utama, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), demikian menurut kementerian perdagangan negara itu.

Dimeterai oleh 11 negara Asia Pasifik pada 2018, kerjasama itu adalah pakatan perdagangan bebas terbesar di rantau terbabit dan merangkumi kira-kira 13.5 peratus ekonomi global.

"Pada 16 September, Menteri Perdagangan, Wang Wentao menghantar permohonan rasmi China untuk menyertai CPTPP," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan dalam talian.

Ia menambah, permohonan itu dihantar menerusi surat kepada Menteri Perdagangan New Zealand, Damien O'Connor.

Wentao dan O'Connor mengadakan perbualan telefon mengenai kerja-kerja susulan bagi permohonan keanggotaan China itu.

China sebelum ini sudah beberapa kali memberikan isyarat berminat menyertai CPTPP dengan Perdana Menterinya, Li Keqiang pada Mac lalu berkata bahawa ekonomi kedua terbesar itu 'secara aktif mempertimbangkan untuk menyertainya'.

CPTPP menggantikan pakatan perdagangan trans-Pasifik terdahulu yang menyaksikan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump menarik diri pada 2017.

Kedutaan China di Australia minggu ini melobi Canberra untuk menyertainya, dengan catatan dalam kenyataan Parlimen Australia menyebut bahawa penyertaan China ke dalam CPTPP akan menghasilkan manfaat ekonomi besar, lapor Bloomberg.

Bagaimanapun, semua 11 anggota CPTPP perlu mencapai persefahaman untuk membenarkan penyertaan China, prospek yang agak rumit berikutan pertikaian geopolitik yang tegang dengan Canberra menyaksikan China mengenakan tarif ke atas pelbagai barangan Australia termasuk wain dan barli.

Australia hari ini meminta Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) mengharamkan tarif ke atas eksport wain ke negara yang pernah menjadi pasaran terbesarnya itu.

-AFP

Berita Harian X