Khamis, 29 Julai 2021 | 12:49pm
MATTA mencadangkan proses verifikasi ‘sehenti’ sebelum waktu berlepas - Foto fail NSTP
MATTA mencadangkan proses verifikasi ‘sehenti’ sebelum waktu berlepas - Foto fail NSTP

Pasport vaksin ASEAN pulihkan sektor pelancongan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), mencadangkan kepada kerajaan negara-negara ASEAN untuk mewujudkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN sebagai persediaan untuk pembukaan semula sempadan di rantau ini.

MATTA membawakan cadangan bagaimana kerajaan negara-negara ASEAN dapat mengadakan protokol pasport vaksin yang diterima secara meluas, disebabkan kebanyakan negara ASEAN kini mempercepatkan program imunisasi kebangsaan, membolehkan sempadan antarabangsa dibuka tidak lama lagi.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata, satu set prosedur operasi standard (SOP) yang seragam perlu diadakan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan negara ASEAN.

Beliau berkata, negara-negara ASEAN seharusnya menimbangkan pas lawatan IATA dan pasport vaksin WHO, untuk membolehkan perjalanan antarabangsa bersama dengan Sijil Digital COVID-19 ASEAN, ke arah kerjasama oleh kerajaan-kerajaan ASEAN.

Jelasnya, memiliki sijil ini akan menjadi satu penyelesaian yang praktikal, dalam melihat risiko status penumpang sebelum perjalanan, termasuk memberikan keyakinan kepada pengembara untuk perjalanan yang selamat.

"Secara idealnya, Sijil Digital COVID-19 ASEAN akan memberikan maklumat bukti vaksinasi, untuk menunjukkan jika seseorang itu mempunyai keputusan ujian SARS-COV-2 yang negatif, atau telah pulih daripada COVID-19," katanya.

MATTA mencadangkan proses verifikasi 'sehenti' sebelum waktu berlepas, membabitkan koordinasi antara pihak berkuasa, lapangan terbang dan syarikat penerbangan, bagi mengelakkan duplikasi.

Kok Liang berkata, negara-negara ASEAN seharusnya memastikan bahawa verifikasi dijalankan seawal mungkin dan sebaiknya sebelum pengembara tiba di lapangan terbang, bagi memastikan pergerakan yang lancar bagi kesemua pihak yang terbabit.

Beliau berkata, negara-negara ASEAN secara agresifnya perlu menampilkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

-BERNAMA

Berita Harian X