Rabu, 28 Julai 2021 | 1:52pm
pelaksanaan PKP pada 2020 diikuti oleh beberapa siri PKP telah menjejaskan pendapatan serta simpanan peniaga - NSTP/Nadim Bokhari
pelaksanaan PKP pada 2020 diikuti oleh beberapa siri PKP telah menjejaskan pendapatan serta simpanan peniaga - NSTP/Nadim Bokhari

Majoriti pengusaha makanan berisiko 'gulung tikar'

KUALA LUMPUR: Kira-kira 90 peratus pengusaha perniagaan makanan dan minuman (F&B) berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan sehingga akhir tahun ini.

Ketua Bahagian F&B Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua, berkata kebanyakan peniaga F&B ketika ini hanya meneruskan operasi dengan aliran tunai yang tidak stabil.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP pada 2020 diikuti oleh beberapa siri PKP telah menjejaskan pendapatan serta simpanan peniaga.

Katanya, kebanyakan peniaga kini bergantung kepada simpanan dan pinjaman selain bantuan kewangan daripada kerajaan melalui beberapa pakej rangsangan.

"Namun jika berterusan, ia akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih parah, sekali gus memaksa peniaga F&B terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menutup perniagaan.

"Mereka tidak mempunyai pilihan lain. Malah, sudah banyak peniaga F&B ketika ini juga sudah menutup operasi mereka sepenuhnya atau sebahagiannya," katanya selepas majlis perasmian penubuhan Bahagian F&B MRCA secara maya hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Chua berkata, jika sekatan pergerakan penuh berpanjangan dan negara masih tidak dapat beralih ke fasa ketiga atau keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pantas, kerajaan perlu memberikan pelbagai bantuan kepada usahawan F&B selain meneliti semula kebenaran beroperasi kepada sektor penting dan tidak penting.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Presiden MRCA, Shirley Tay yang berkata hakikatnya adalah semua perniagaan adalah tergolong dalam kategori sektor penting.

"Adakah perniagaan khususnya F&B akan bertahan sehingga hujung tahun ini? Ketika ini juga kita tidak mampu bertahan sepenuhnya.

"Jika berlarutan ia akan memberi impak berganda kepada ekonomi negara. Kerajaan perlu meneliti perkara ini bagi mengurangkan tekanan kepada ekonomi.

"Malah, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan juga sentiasa dipatuhi oleh usahawan," katanya.

Tay berkata, peralihan ke arah digital sedikit membantu peniaga F&B, namun jumlahnya tidak sebesar jika mereka dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, peniaga F&B terpaksa membayar yuran penggunaan yang tinggi sehingga 30 peratus kepada penyedia perkhidmatan penghantaran makanan.

Kos ini, katanya menjadi bebanan kepada ramai peniaga F&B, ditambah pula dengan jumlah pesanan yang sedikit berbanding tempoh sebelum pandemik.

"Bagaimana mereka ingin meneruskan perniagaan jika keadaan berlarutan seperti ini. Namun, kita tidak mempunyai pilihan kerana tidak banyak penyedia perkhidmatan penghantaran makanan ketika ini," katanya.

Data daripada Tourism Satellite Account (TSA) menunjukkan perdagangan runcit diikuti dengan F&B adalah penyumbang utama pendapatan industri pelancongan masing-masing sebanyak 46.2 peratus dan 18 peratus pada 2019.

Berita Harian X