Rabu, 28 Julai 2021 | 1:15pm
InvestKL berusaha menonjolkan Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama di Asia - Foto hiasan
InvestKL berusaha menonjolkan Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama di Asia - Foto hiasan

InvestKL tingkat usaha tarik pelabur ke Greater KL

KUALA LUMPUR: InvestKL, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan dua projek digital yang bertumpu kepada usaha menonjolkan Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.

Menurut agensi itu, projek itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya menarik syarikat multinasional Fortune 500 dan Forbes 2000 selain syarikat yang berkembang pesat untuk mewujudkan hab serantau dan aktiviti bernilai tinggi di Greater KL.

Katanya, laman web yang baru direka itu bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna, terutama pelabur asing yang mencari pandangan dan rujukan perniagaan di Greater KL.

"Laman web ini mempunyai reka bentuk moden yang canggih, navigasi dan fungsi yang lebih baik yang membolehkan pencarian lancar ke pelbagai sumber pelabur.

"Ia juga mempunyai halaman blog baharu 'Spotlight Greater KL' dan bahagian podcast 'InvestKL Conversations' yang memaparkan perbincangan dengan syarikat multinasional, pemimpin akademik dan banyak lagi.

"Selain itu, ia akan memperkenalkan 'chatbot' bernama Kayla pada fasa seterusnya untuk memberikan sokongan berdasarkan nilai dan kemudahan hubungan untuk pelabur semasa dan berpotensi," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, agensi itu berkata, projek kedua adalah pengalaman realiti maya (VR) menerusi kerjasama dengan LokaLocal, penyedia teknologi yang mencipta penyelesaian perniagaan melalui VR dan realiti terimbuh atau 'augmented reality'.

"Dengan satu klik butang, lawatan ini mengemudi pengguna ke tempat tarikan Greater KL seperti River of Life, Merdeka Square dan Monumen Nasional selain pusat perniagaan yang menarik seperti Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bangsar South dan Cyberjaya, dengan menawarkan pemandangan hebat mengenai pembangunan, kemudahan dan infrastruktur bandar.

"Lebih banyak pusat perniagaan dijangka dirakam dan ditampilkan dalam fasa kedua. InvestKL adalah agensi promosi pelaburan pertama di Malaysia yang mempamerkan lokasi melalui simulasi ini yang membolehkan pelabur merasai pengalaman Greater KL dari mana sahaja di dunia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pihaknya berusaha untuk memposisikan agensi itu sebagai pemimpin dalam bidang itu, yang merangkumi kepentingan transformasi digital.

"Kami pernah melakukan perjalanan untuk bertemu dengan pelabur berpotensi, membina hubungan melalui acara rangkaian dan pameran perdagangan, namun era baharu ini menuntut kita untuk meningkatkan kesedaran mengenai Greater KL, berhubung dan terbabit dalam dunia maya.

"Dua projek ini bergerak ke haluan yang tepat dan kami terus menerapkan strategi inovatif baharu di barisan hadapan aliran digital dan teknologi untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi dari jauh.

"Sehingga kini, kami dapat terus melakukan perbincangan aktif dengan pelabur dan mengekalkan momentum positif," katanya.

Berita Harian X