Rabu, 28 Julai 2021 | 12:56pm
Kerajaan akan menimbang semula keutamaan perbelanjaan sekiranya sekatan ekonomi berlanjutan - Foto hiasan
Kerajaan akan menimbang semula keutamaan perbelanjaan sekiranya sekatan ekonomi berlanjutan - Foto hiasan

Kejayaan PPN mampu kurangkan bebanan fiskal kerajaan

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh dan tidak terlalu terbeban dengan keperluan menyediakan bantuan tambahan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan menimbang semula keutamaan perbelanjaan, mengawal aliran tunai dan meningkatkan pinjaman jika perlu sekiranya sekatan ekonomi akibat pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berlanjutan.

"Kita bukannya bergerak ke arah negara bankrap. Kita masih mampu untuk membayar kesemua hutang-hutang kita setakat ini.

"Namun, jika sekatan pergerakan sepenuhnya berlanjutan di mana kebanyakan sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi, kerajaan perlu menimbang semula keutamaan dalam perbelanjaan, aliran tunai dan pinjaman," katanya dalam temubual di stesen radio Manisfm, hari ini.

Zakiah menegaskan, sekiranya negeri-negeri beralih kepada fasa berikutnya dalam PPN, program vaksinasi berjalan lancar, lebih banyak sektor ekonomi dibuka dan momentum eksport kekal kukuh, sudah tentu aspek itu akan menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Ekonomi kita tahun ini masih terjejas tetapi masih mencatatkan pertumbuhan positif meskipun sederhana. Namun, kita masih mampu membayar semua hutang negara setakat ini. Penarafan kredit kita masih baik dan pelaburan asing masih memasuki negara

"Sebagai contoh, apabila kita menerbitkan Sukuk Kelestarian bernilai AS$1.3 bilion (RM5.5 bilion) pada April lalu untuk membiayai pembangunan, permintaan lebih enam kali ganda dari dalam dan luar negeri, ini mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi negara.

"Ini jelas menunjukkan prospek negara kita masih kukuh dan stabil," katanya.

Beliau menjelaskan, program vaksinasi yang dilaksanakan ketika ini menjadi penentu utama kejayaan Malaysia menangani krisis COVID-19.

Katanya, negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman menyaksikan sebaik sahaja 20 hingga 40 peratus daripada penduduk mendapat vaksin, bilangan kes dan kemasukan hospital turun mendadak.

"Rakyat mereka kembali kepada kehidupan yang semakin normal. Malah, walaupun UK sekarang mengalami kenaikan mendadak namun kadar kemasukan hospital masih rendah.

"Alhamdulillah, sekarang kita sudah menerima jumlah vaksin yang banyak. Pada Mei lalu suntikan vaksin hanya sekitar 80,000 dos sehari tetapi melonjak kepada lebih 400,000 dos sehari ketika ini.

"Kadar vaksinasi kita antara tertinggi di dunia dan 24 peratus penduduk dewasa sudah melengkapi suntikan vaksin mereka. Kita menjangkakan imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini, tiga bulan lebih awal daripada jangkaan asal. Labuan dan Sarawak sudah capai imuniti kelompok," katanya.

Zakiah berkata, krisis COVID-19 juga memburukkan lagi jurang pendapatan di Malaysia walaupun kerajaan sejak sekian lama menumpukan agenda keterangkuman atau inklusitiviti pelbagai dimensi untuk mengurangkan jurang kekayaan antara kumpulan pendapatan, wilayah, etnik dan lain-lain.

"Perancangan kerajaan juga telah termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), dasar jangka panjang kita sehingga 2030. Namun, krisis pandemik memburukkan lagi masalah jurang kekayaan.

"Ini disebabkan penutupan ekonomi sudah tentu memberi impak besar kepada B40 dan golongan rentan di bandar, tidak ketinggalan PKS yang mungkin tidak mempunyai keupayaan atau sumber mencukupi untuk bertahan lama dan membuat penyesuaian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sebab itu bantuan banyak tertumpu kepada golongan ini.

"Apabila PKP dilanjutkan, M40 dan syarikat lebih besar turut terkesan, justeru kerajaan mengubahsuai bantuan untuk turut meliputi mereka. Namun, semua ini adalah penyelesaian jangka pendek.

"Cabaran merapatkan jurang kekayaan adalah isu struktur yang memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam tempoh jangka panjang. Ia akan diperincikan lagi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada September ini dan dalam Belanjawan 2022 pada Oktober," katanya.

Mengulas mengenai moratorium, beliau menegaskan, pelanggan yang tidak berpuas hati akibat permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak bank boleh membuat aduan kepada bank Negara Malaysia (BNM).

"Kita dapati ramai pelanggan individu dan perniagaan memerlukan moratorium. Namun, ada juga segelintir kumpulan yang tidak terjejas dan tidak memerlukan bantuan ini.

"Sebab itu, kita beri pilihan untuk memohon, walaupun kelulusan adalah automatik tanpa dokumen diperlukan," katanya.

Berita Harian X