X
Rabu, 28 Julai 2021 | 9:57am
Vaksinasi secara meluas akan membolehkan ekonomi dibuka semula - Foto fail Bloomberg
Vaksinasi secara meluas akan membolehkan ekonomi dibuka semula - Foto fail Bloomberg

Jurang negara kaya, membangun semakin melebar

WASHINGTON: Pengagihan tidak sekata vaksin menyebabkan jurang ketidaksamaan semakin melebar apabila pertumbuhan negara kaya lebih pesat dan meninggalkan negara membangun di belakang meskipun ekonomi global sedang berkembang, demikian amaran dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Akses vaksin muncul sebagai garis kesilapan utama yang memisahkan pemulihan global kepada dua blok," kata IMF dalam Tinjauan Ekonomi Dunia terkini.

Namun, IMF memberi amaran ancaman kepada seluruh dunia jika varian baharu virus terus dibiarkan merebak.

Pemulihan 'tidak terjamin' walaupun di negara yang kadar jangkitannya sangat lemah selagi virus itu terus merebak di tempat lain, kata laporan berkenaan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan berkembang tahun ini, tidak berubah berbanding unjuran pada April lalu.

Namun, Ketua Ahli Ekonomi IMF, Gita Gopinath memberi amaran bahawa 'jurang semakin melebar' apabila negara maju berkembang lebih pantas manakala negara membangun, khususnya di Asia, berkembang perlahan.

Amerika Syarikat (AS) diunjur mencatatkan pertumbuhan lebih pantas tahun ini berbanding unjuran terdahulu, berkembang sebanyak tujuh peratus dengan perbelanjaan besar kerajaan dan program vaksinasi COVID-19 yang meluas.

Bagaimanapun, IMF menurunkan unjuran bagi India, yang berdepan peningkatan semula kes jangkitan.

Penyedia pinjaman berpangkalan di Washington sekali lagi menegaskan bahawa 'keutamaan segera' adalah untuk mengagihkan vaksin dengan sekata di seluruh dunia dan mempercepatkan pelan bernilai AS$50 bilion yang menawarkan kos berdaya maju bagi mengakhiri pandemik.

Negara-negara maju telah memvaksinkan hampir 40 peratus penduduk, berbanding hanya 11 peratus di negara sedang membangun dan peratusan kecil di negara berpendapatan rendah, kata laporan itu.

Gopinath berkata, sekurang-kurangnya satu bilion dos vaksin akan dikongsi oleh negara yang mempunyai lebihan vaksin tahun ini.

Kegagalan untuk mencapai vaksinasi secara meluas akan menyebabkan varian virus yang amat mudah berjangkit semakin merebak, seperti varian Delta.

Ia akan menjejaskan pemulihan, menghilangkan $4.5 trilion daripada KDNK global secara terkumpul menjelang 2025, lebih separuh daripadanya adalah daripada negara-negara kata, demikian menurut anggaran IMF.

Ini bukan hanya 'risiko kecil' sebaliknya risiko penurunan yang realistik, kata Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF, Petya Koeva-Brooks.

Vaksinasi membolehkan ekonomi dibuka semula dan menyebabkan unjuran terhadap AS bagi tahun ini serta tahun depan dinaikkan, apabila pertumbuhan dijangka mencecah 4.9 peratus.

Namun, ia mengambil kira Kongres AS akan meluluskan satu lagi pusingan perbelanjaan kira-kira AS$4 trilion tahun ini menerusi program infrastrukur dan mewujudkan pekerjaan di bawah Presiden Joe Biden.

IMF turut menaikkan unjuran bagi Kanada dan Britain masing-masing kepada 6.3 peratus dan 7.0 peratus tahun ini, manakala KDNK zon euro dijangka berkembang 4.6 peratus, lebih tinggi sedikit berbanding unjuran April.

-AFP

Berita Harian X