Rabu, 16 Jun 2021 | 4:30pm
Peniaga buah, Azhari Abu Bakar, 24, menonton siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Pelan Pemulihan Negara - NSTP/Asyraf Hamzah
Peniaga buah, Azhari Abu Bakar, 24, menonton siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Pelan Pemulihan Negara - NSTP/Asyraf Hamzah

Fasa pemulihan lewat bakal jejaskan ekonomi

KUALA LUMPUR: Sebarang kelewatan mencapai sasaran tahap pemulihan dalam Pelan Pemulihan Negara, jika berlaku, pastinya menjejaskan unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, kata ahli ekonomi.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata jika peralihan kepada satu fasa ke satu fasa terganggu dengan tiga indikator yang ditetapkan gagal dipenuhi, ia akan menyebabkan penangguhan pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat.

Katanya, kesan kelewatan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial dijangka memberi impak negatif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Kalau sekatan pergerakan penuh berlanjutan sehingga akhir Julai disebabkan tidak memenuhi tiga indikator, pertumbuhan KDNK bagi suku tahun kedua dan ketiga tahun ini akan kekal rendah.

"Ia sekali gus menyebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini antara 6.0 hingga 7.5 peratus mungkin tidak akan tercapai. Kemungkinan unjuran yang lebih realistik ialah 5.5 hingga 7.0 peratus," katanya ketika dihubungi BH.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Tiga indikator adalah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Pendekatan secara berperingkat itu bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapai vaksinasi yang masih rendah.

Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua selepas purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Menerusi fasa kedua, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat manakala aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Fasa ketiga pula membabitkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali yang berisiko tinggi.

Ia boleh dicapai selepas negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dan 40 peratus populasi negara sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Bagi fasa keempat pula, ia akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun di bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil ICU mencukupi serta 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memberikan butiran terperinci membabitkan beberapa perkara termasuk kegagalan mencapai nilai ambang dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, perincian itu penting kerana ia menjadi garis panduan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perniagaan, isi rumah dan pelabur melaksanakan langkah perlu pada masa depan.

"Perincian juga boleh dibuat membabitkan kadar jangkitan mendatar menyebabkan kekal dalam satu fasa selama berbulan-bulan atau kadar semakin menaik, adakah ini bermakna kita kembali kepada sekatan pergerakan penuh," katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan berdepan tugas mencabar terutamanya indikator ketiga iaitu peratusan individu mendapat dua dos.

"Mungkin boleh utamakan seramai boleh dapat dos pertama dulu dan bukannya peratusan yang dapat dua dos," katanya.

Sementara itu, TA Securities dalam nota penyelidikan, berkata walaupun kerajaan meletakkan keyakinan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, namun unjuran ekonomi negara kekal tidak menentu terutamanya separuh kedua tahun ini jika fasa pemulihan tidak berjalan seperti dirancang.

Katanya, dengan hanya baki seminggu lagi untuk sekatan pergerakan penuh berakhir dan negara belum memenuhi mana-mana daripada tiga indikator ditetapkan, ia akan memberi cabaran kepada kerajaan untuk beralih kepada fasa kedua menjelang awal bulan depan.

Kenanga Research pula berkata, ekonomi Malaysia dijangka pulih beransur-ansur ketika negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negarapada Julai dan Ogos dan fasa ketiga pada September dan Oktober, dengan lebih banyak sektor dibenarkan menyambung semula operasi.

Firma penyelidikan itu berkata, ekonomi dijangka terus disokong oleh industri pembuatan terutama daripada sektor eksport memandangkan permintaan luar yang berterusan.

Berita Harian X