Rabu, 16 Jun 2021 | 4:11pm
Pelan Pemulihan Negara adalah langkah ke arah hala tuju yang tepat bina semula ekonomi Malaysia -NSTP/Syafeeq Ahmad
Pelan Pemulihan Negara adalah langkah ke arah hala tuju yang tepat bina semula ekonomi Malaysia -NSTP/Syafeeq Ahmad

Pelan jelas sasaran longgarkan sekatan, buka ekonomi

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara adalah langkah ke arah hala tuju yang tepat dalam menyediakan rangka kerja mengenai sasaran dan pendekatan yang jelas untuk melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi, demikian menurut syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) menyambut baik pelan itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami berharap kepada pemulihan negara," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn pula berpendapat mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi adalah jalan keluar daripada pandemik.

"Kita mencapai kemajuan yang besar pada Jun. Ia adalah baik apabila melihat kita hampir mencapai 200,000 dos dan kini ditingkatkan ke arah sasaran 300,000 dos sehari.

"Semangat kesukarelawan di kebanyakan pusat vaksinasi benar-benar menunjukkan rakyat Malaysia yang terbaik," katanya.

Berdasarkan kadar semasa, beliau berkata negara akan memberi suntikan vaksin kepada tiga juta rakyat Malaysia sebulan, membolehkan negara hampir untuk mencapai imuniti kelompok pada suku keempat seperti yang disasarkan dalam pelan berkenaan.

"PNB dan syarikat kami bersedia untuk memberikan sokongan yang diperlukan untuk pelan itu. Langkah ke arah imuniti kelompok perlu dalam bentuk usaha bersama untuk kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan CEO SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata Pelan Pemulihan Negara memberikan gambaran yang jelas untuk negara keluar daripada krisis pandemik COVID-19 dan menggariskan usaha untuk membangunkan semula ekonomi.

"Paling penting, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamatnya," katanya.

Aria Putera berkata, SME Bank akan menggunakan maklumat yang disediakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan lagi pelan bank yang sedia ada untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lama terjejas oleh pandemik COVID-19.

Beliau berkata, bank menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pelanggannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, katanya sektor perbankan negara terus komited untuk membantu usahawan mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh sukar ini, berikutan kemampanan perniagaan mereka akan mempengaruhi prestasi industri perbankan negara.

"Setiap permohonan untuk bantuan kewangan atau pembangunan perniagaan akan diberi pertimbangan yang terbaik mengikut garis panduan dan dasar sedia ada," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X