Selasa, 11 Mei 2021 | 2:16pm
Kerajaan sudah melaksanakan enam pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion setakat ini - Foto hiasan
Kerajaan sudah melaksanakan enam pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion setakat ini - Foto hiasan

Kerajaan masih ada ruang sokong ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih ada ruang fiskal untuk menyokong ekonomi dengan memperkenalkan pakej rangsangan baharu bagi menangani krisis dicetuskan COVID-19.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata ia berdasarkan paras statutori hutang negara yang masih berada di bawah 60 peratus seperti ditetapkan.

"Berdasarkan pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), statutori hutang berada pada 58.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun ini.

"Ia masih berada di bawah had statutori hutang 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan, justeru kerajaan masih ada ruang fiskal untuk menyokong ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman KDNK Malaysia bagi suku pertama 2021 secara maya, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, yang penting untuk ditekankan adalah pakej rangsangan sebelum ini direka secara berhati-hati supaya lebih bersasar dan memberi kesan pengganda, selain mengimbangi keperluan fizikal yang berhemah.

Katanya, kerajaan mengulangi komitmen untuk membina semula penampan fiskal yang telah digunakan ketika pandemik apabila negara pulih daripada krisis.

"Ia dibuktikan dengan komitmen kerajaan ke arah pelan konsolidasi fiskal dengan memberi penekanan rangka kerja jangka sederhana termasuk langkah pembaharuan fiskal yang akan dibentangkan menerusi Akta Tanggungjawab Fiskal akhir tahun ini," katanya.

Mac lalu, kerajaan mengumumkan PEMERKASA bernilai RM20 bilion dengan RM11 bilion daripadanya adalah suntikan fiskal langsung kerajaan.

Menerusi PEMERKASA, kerajaan menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

Beberapa inisiatif yang sebelum ini diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lalu juga ditambah baik dengan pemberian peruntukan tambahan bagi pelaksanaan selepas ini.

Antaranya, Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 diperluas untuk satu juta lagi usahawan, lanjutan Program Subsidi Upah (PSU), bantuan kepada kontraktor G1 hingga G4 ditingkatkan serta pemberian tunai sekali bayar kepada kumpulan sasar yang kehilangan kerja daripada kelompok B40 serta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Sehingga ke hari ini, kerajaan sudah melaksanakan enam pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion termasuk Belanjawan 2021 yang diumumkan tahun lalu.

Berita Harian X