Rabu, 14 April 2021 | 3:49pm
Gambar fail. Foto: AFP
Gambar fail. Foto: AFP

Singapura berkembang 0.2 peratus pada suku pertama

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 0.2 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2021, pulih daripada penguncupan 2.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Berdasarkan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.0 peratus, meneruskan pengembangan 3.8 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut anggaran awal oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku pertama 2021 sebahagian besarnya dikira daripada data dua bulan pertama suku tahun itu.

Ia bertujuan sebagai petunjuk awal pertumbuhan KDNK pada suku tahun itu dan tertakluk kepada semakan semula apabila data yang lebih komprehensif diperoleh.

Mengenai prestasi sektor, MTI berkata sektor pembuatan berkembang sebanyak 7.5 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama, susulan peningkatan sebanyak 10.3 peratus dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

"Pertumbuhan sektor ini disokong oleh peningkatan pengeluaran dalam kluster elektronik, kejuruteraan ketepatan, pembuatan bahan kimia dan bioperubatan, yang mengatasi kemerosotan pengeluaran dalam kluster kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am," katanya.

Sektor pembinaan susut 20.2 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama, meningkat daripada penguncupan 27.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

"Prestasi yang lebih baik itu disebabkan aktiviti pembinaan sektor awam dan swasta yang meningkat pada suku pertama berbanding suku tahun sebelumnya," menurut kementerian itu.

Dalam kalangan sektor perkhidmatan, sektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan merosot sebanyak 4.1 peratus pada suku pertama, sederhana daripada penguncupan 6.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Penguncupan yang dicatatkan untuk kumpulan sektor ini disebabkan oleh kelemahan yang berterusan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan, yang juga berikutan impak daripada pandemik COVID-19 yang berterusan terhadap segmen pengangkutan udara, pengangkutan air dan pengangkutan darat, menurut MTI.

Sebaliknya, katanya sektor perdagangan borong dan runcit berkembang.

Sementara itu, sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional secara kolektif berkembang sebanyak 3.7 peratus pada suku pertama, lebih cepat daripada pengembangan 1.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

"Pertumbuhan disokong oleh pengembangan yang baik dalam sektor maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans, walaupun sektor perkhidmatan profesional menguncup," menurut kementerian itu.

Baki kumpulan sektor perkhidmatan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta industri perkhidmatan lain, susut sebanyak 3.9 peratus, meningkat daripada penguncupan 9.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

MTI akan mengeluarkan anggaran awal KDNK untuk suku pertama 2021, termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada Mei 2021.

Ekonomi Singapura menguncup 5.4 peratus pada 2020.

– Bernama

Berita Harian X