Ahad, 14 March 2021 | 3:40pm
Malaysia dijangka meraih keuntungan ketara daripada penyertaan dalam RCEP - Foto BERNAMA
Malaysia dijangka meraih keuntungan ketara daripada penyertaan dalam RCEP - Foto BERNAMA

Malaysia antara penerima manfaat terbesar RCEP

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi antara negara penerima keuntungan daripada terbesar Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), demikian menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB).

RCEP dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dianggotai Malaysia dijangka menjana AS$333 bilion (RM1.37 trilion) kepada ekonomi dunia menjelang 2030.

Laporan Integrasi Ekonomi Asia 2021 oleh ADB yang diterbitkan baru-baru ini menjelaskan, ahli RCEP diunjur meraih AS$174 bilion (RM716.5 bilion) dalam pendapatan benar menjelang 2030, menyamai 0.4 peratus agregat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ahli.

Katanya, RCEP dijangka dapat memacu pembaharuan momentum untuk perdagangan antara wilayah dan mengukuhkan rantaian nilai antara negara +3 (China, Jepun dan Korea Selatan), serta sesama sendiri dan anggota lain.

"Walaupun RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama yang meliputi China, Jepun dan Korea Selatan pada masa yang sama, ia juga adalah yang pertama membabitkan dua daripada tiga ekonomi terbesar di dunia.

"Negara +3 akan meraih manfaat paling banyak, dengan kemungkinan keuntungan AS$85 bilion (RM350 bilion) untuk China, AS$48 bilion (RM197.6 bilion) untuk Jepun dan AS$23 bilion (RM94.7 bilion) untuk Korea Selatan.

"Negara lain yang akan meraih keuntungan RCEP yang ketara termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Vietnam. RCEP juga akan mewujudkan saiz perdagangan baharu yang cukup besar di antara +3 negara," katanya.

Laporan ADB menambah, walaupun RCEP dan CPTPP adalah perjanjian perdagangan mega, namun keluasan dan kedalamannya adalah berbeza.

Katanya, secara keseluruhan, tahap liberalisasi dalam RCEP tidak sedalam CPTPP dan liputannya juga adalah kurang menyeluruh.

"RCEP tidak memasukkan peruntukan untuk menyelaraskan piawaian peraturan alam sekitar atau pasaran buruh, tidak seperti CPTPP," katanya.

Sebanyak 15 negara ahli RCEP menyumbang 29 peratus dari KDNK global, 25 peratus perdagangan global dan populasi seramai 2.3 bilion.

Manakala, 11 negara dalam CPTPP menyumbang 13 peratus daripada KDNK global, 14 peratus perdagangan global dan populasi 507.7 juta.

Berita Harian X