Ahad, 21 Februari 2021 | 2:01pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik. - Foto: Bernama
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik. - Foto: Bernama

PETRONAS jangka prospek kewangan lebih baik tahun ini

KUALA LUMPUR: Selepas berdepan persekitaran mencabar yang belum pernah dialami sebelum ini dicetuskan COVID-19 dan lebihan bekalan minyak global tahun lalu, PETRONAS berharap prospek 2021 lebih baik dengan pemulihan dipacu pelaksanaan vaksin, harga minyak yang stabil dan peningkatan permintaan terhadap gas asli dan petrokimia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik, berkata meskipun harga minyak Brent kini kembali ke paras AS$63 setong, pihaknya kekal berhati-hati dalam pelaksanaan strategi pertumbuhannya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada data yang ada, dalam jangka masa panjang harga minyak akan lebih rendah berbanding sebelum ini dan pihaknya percaya ia tidak akan melebihi paras AS$55-AS$60 setong untuk sekurang-kurangnya dalam beberapa tahun.

Katanya, syarikat minyak dan gas nasional itu percaya harga minyak sebenarnya sangat rapuh kerana pergerakannya tidak dipengaruhi sepenuhnya oleh asas pasaran.

Justeru, sebagai persediaan untuk memastikan pelaburan yang dilaksanakan berdaya maju dengan ketidaktentuan pergerakan harga minyak, pihaknya menggunakan rujukan harga minyak pada paras AS$40 setong, jelasnya.

"Kami selalu menilai projek pada asas daya maju pada AS$40 setong. Oleh sebab itu, sebagai tindak balas, PETRONAS akan membuat semakan semula terhadap semua portfolio pelaburan dan pihak pengurusan akan memantau Kos Pengeluaran Unit (UPC) tetap pada tahap kompetitif," katanya dalam satu temubual ekslusif bersama BH dan Bernama secara maya baru-baru ini.

Tengku Taufik berkata, ketika ini, harga minyak melantun kembali ke paras AS$63 setong berikutan harapan pasaran terhadap keyakinan dengan adanya program vaksin seluruh dunia, yang mana dengan pelaksanaan vaksinisasi akan memberi kesan dalam membendung penularan pandemik pada masa akan datang.

Melangkah ke depan, beliau percaya, harga minyak dan gas akan dipengaruhi oleh jangkaan berbanding asas pasaran, yang mana jangkaan kini dipengaruhi oleh program vaksin dan tindakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Mengulas prestasi kewangan PETRONAS pada 2020, Tengku Taufik berkata, keputusan kewangan pengeluar minyak dan gas nasional itu akan sejajar dengan apa yang dicerminkan oleh pasaran dan kemerosotan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, prestasi buruk dicatatkan pada suku kedua 2020 adalah berikutan rosot nilai yang besar, yang mana ia berlaku disebabkan ia berlaku disebabkan oleh unjuran harga minyak yang tinggi pada waktu pelaburan.

Namun, beliau menjelaskan, rosot nilai yang besar turut memberi impak kepada syarikat-syarikat minyak dan gas global dan sebenarnya tidak membabitkan aliran keluar wang tunai, sebaliknya membabitkan pelarasan kepada nilai yang dibawa mengikut piawaian perakaunan yang diguna pakai industri.

Melangkah ke depan, Tengku Muhammad Taufik berkata, dengan menghadapi cabaran telaga minyak yang kian matang, penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas dari perairan yang semakin dalam dan pengolahan gas yang mengandungi karbon dioksida yang lebih tinggi, usaha untuk mengekalkan UPC yang rendah memang dijangka akan lebih mencabar.

Justeru, beliau berkata, penggunaan teknologi akan menjadi sebahagian penyelesaian melangkah ke depan.

"Prospek bagi kami, saya fikir, berdasarkan kepada apa yang saya kongsikan tadi dan seperti yang kita sudahpun maklum, kadar pemulihan ekonomi yang nyata perlu kelihatan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas memang merosot akibat pandemik. Oleh itu, anda akan melihat keputusan (kewangan) kami sejajar dengan keputusan yang dicerminkan oleh peserta industri minyak yang lain.

"Rata-rata kami semua mengharapkan supaya adanya pemulihan yang jelas secara berperingkat, terutama dalam sektor pengguna yang menyokong seperti pengangkutan. Dalam pada itu, industri pelancongan, pengembaraan perlu juga melonjak semula. Pemulihan ini amat berkait dengan vaksin dan juga keyakinan pengguna.

"Dengan pulihnya ekonomi global, penggunaan petrokimia juga diharapkan meningkat dengan pulihnya permintaan dan pembangunan semula ekonomi terutamanya di Asia, selepas program vaksin disempurnakan," katanya.

 

Berita Harian X