Khamis, 4 Februari 2021 | 3:27pm
Pelaksanaan PKP 2.0 dijangka menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM600 ke RM700 juta sehari - Foto Aswadi Alias
Pelaksanaan PKP 2.0 dijangka menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM600 ke RM700 juta sehari - Foto Aswadi Alias

Pakej rangsangan baharu dilaksana jika PKP berlanjutan

KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan pakej rangsangan ekonomi selanjutnya akan dilaksanakan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 melangkaui 18 Februari 2021.

Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan, berkata dengan jangkaan kerugian ekonomi sekitar RM600 ke RM700 juta sehari susulan pelaksanaan PKP 2.0, sudah pasti ia memberi kesan kepada pertumbuhan, namun tidak seteruk PKP pertama yang mengundang kerugian ekonomi sekitar RM2.2 hingga RM2.4 bilion sehari.

Justeru, dengan mengambil kira potensi pelaksanaan pakej rangsangan selanjutnya, pihaknya menjangkakan kadar defisit fiskal bagi 2021 sekitar 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tinggi sedikit berbanding unjuran rasmi kerajaan 5.4 peratus.

Namun, tegasnya, penilaian setiap agensi penarafan antarabangsa adalah dari sudut berbeza dengan Fitch memberi penekanan kepada fiskal dan paras hutang, manakala Moody's pula terhadap prospek pertumbuhan ekonomi.

"Walaupun PKP 2.0 dilaksanakan, kami tidak menjangkakan penguncupan mendadak ekonomi sama seperti yang dicatatkan pada suku kedua 2020 susulan pelaksanaan PKP 1.0 ,memandangkan sektor ekonomi penting dan utama masih beroperasi.

"Kami jangka dengan pelaksanaan program vaksin, pakej rangsangan dan permintaan luaran yang lebih baik dipacu pemulihan China dan semikonduktor akan menyokong pertumbuhan pada paras selesa sekitar 5.0 peratus tahun ini berbanding jangkaan penguncupan 5.0 peratus pada 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya Affin Hwang Capital mengenai tinjauan ekonomi 2021 dan perkembangan terkini sektor pembinaan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Kanan Penyelidikan Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei, berkata tinjauan sektor pembinaan tempatan pada 2021 dijangka pulih, namun ketidakpastian politik kekal menjadi kunci utama kebimbangan.

Beliau berkata, impak pelaksanaan PKP 2.0 dilihat tidak seteruk PKP 1.0 kerana sektor pembinaan dibenarkan beroperasi.

Katanya, pelaksanaan semula projek mega akan merangsang minat pelabur dalam sektor pembinaan dan pihaknya mencadangkan saranan 'neutral' terhadap sektor berkenaan.

"Pemulihan sektor pembinaan dijangka pada 2021. Potensi pelaksanaan semula projek infrastruktur mega seperti MRT3 adalah positif untuk penarafan semula (sektor ini)," katanya.

Berita Harian X