Jumaat, 29 Januari 2021 | 3:34pm
Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik kerana berada di rantau Asia Pasifik dan pusat ASEAN - Foto Bloomberg
Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik kerana berada di rantau Asia Pasifik dan pusat ASEAN - Foto Bloomberg

MIDA sasar 240 pelaburan asing RM81.9 bilion

KUALA LUMPUR: Pelaburan asing ke Malaysia dijangka kekal pada paras pra-COVID dengan 240 projek pelaburan asing profil tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sudah dikenal pasti.

Ia membabitkan potensi gabungan nilai pelaburan RM81.9 bilion yang sedang dirunding dan disasarkan bagi 2021.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, ia setakat ini sudah menerima dan menilai potensi pelaburan bernilai RM47.7 bilion dan sebaik saja diluluskan, projek berkenaan dijangka dilaksanakan antara 2021 hingga 2022.

Agensi itu berkata, Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik kerana berada di rantau Asia Pasifik dan pusat ASEAN.

"Ketersediaan infrastruktur yang sangat baik, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan perbankan, industri sokongan dan juga pelbagai kumpulan bakat dengan kemahiran dan tenaga kerja terlatih telah menjadi faktor penarik bagi pelabur pertimbangkan," katanya dalam satu kenyataan.

MIDA berkata, kerajaan sedar bahawa landskap pelaburan langsung asing (FDI) sudah dan akan kekal mencabar serta sangat kompetitif.

"Justeru, memacu pelaburan adalah kunci utama dalam memastikan pemulihan pertumbuhan Malaysia," katanya.

Agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, usaha sudah dipertingkatkan untuk terus menarik dan memudahkan pelaburan berkualiti dengan kerajaan mengumumkan beberapa insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Ini termasuk pengecualian cukai 10 hingga 15 tahun bagi FDI baharu dalam sektor pembuatan dengan modal pelaburan RM300 juta atau lebih.

Ia berkata, langkah untuk meningkatkan lagi pengalaman pelabur, khususnya untuk memastikan fasilitasi pelabur berjalan lancar akan terus dilakukan secara berterusan.

"Inisiatif khusus yang sudah dilaksanakan termasuk penubuhan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) dan pelbagai platform dalam talian termasuk 'i-Incentive' untuk mempercepat pelaksanaan pelaburan.

"Kerajaan juga sedang merangka strategi pelaburan nasional untuk menarik pelaburan kualiti tinggi yang akan meningkatkan kapasiti produktif Malaysia, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, mempromosikan pemindahan teknologi dan mengeratkan hubungan domestik," katanya.

Dalam kajian secara bersama baru-baru ini oleh KPMG dan Manufacturing Institute in the United States bertajuk 'Cost of Manufacturing Operations around the Globe', Malaysia menduduki tangga keempat daripada 17 ekonomi, mendahului negara Asia lain seperti China, Jepun, Vietnam dan India.

Kajian itu mengesahkan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab rantaian bekalan global di rantau ini.

Selain itu, syarikat multinasional menggunakan Malaysia sebagai hab perkhidmatan pengurusan perbendaharaan serta pelbagai aktiviti perkhidmatan yang berkaitan.

Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bernilai RM109.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2020 membabitkan 2,935 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan, dengan FDI mewakili hampir 40 peratus (RM42.6 bilion).

Malaysia juga menarik sebahagian besar syarikat multinasional dalam industri berteknologi tinggi termasuk Smith and Nephew dari United Kingdom; syarikat Amerika Syarikat (AS), Dexcom, LAM Research dan MusicTribe; syarikat dari Switzerland, LEM dan baru-baru ini, SK Nexilis dari Korea.

Syarikat sedia ada juga terus mengembangkan operasi mereka di Malaysia termasuk Eppendorf; Bosch; B.Braun; Wistron; Western Digital dan Nippon Electric Glass (NEG).

Berita Harian X