Isnin, 21 Disember 2020 | 11:17am
(Gambar fail) Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
(Gambar fail) Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

TH perlu sokongan kerajaan selepas selepas struktur aset

hazwanfaisal@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Penstrukturan aset Lembaga Tabung Haji (TH) dengan syarikat milik kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) selesai sepenuhnya pada akhir 2018 dan sokongan berterusan kerajaan akan memastikan pulangan mapan kepada institusi Islam berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata hasil penstrukturan itu TH akan menerima pulangan daripada dua sukuk diterbitkan UJ yang mengambil masa tujuh dan 10 tahun untuk membayar kembali sukuk itu.

"TH akan menerima pulangan RM27 bilion termasuk empat peratus keuntungan selepas dua sukuk ini matang," katanya.

UJ adalah unit milik penuh Kementerian Kewangan (MOF) menyelesaikan pemindahan aset tidak berbayar bernilai RM9.63 bilion yang dipegang TH pada Disember 2018.

Pemindahan ini dilakukan daripada TH kepada UJ sebagai pertukaran untuk RM19.9 bilion yang terdiri daripada dua peringkat sukuk berjumlah RM19.60 bilion, iaitu RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan saham keutamaan boleh tukar Islam bernilai RM9.9 bilion RCPS-i serta wang tunai RM300 juta yang perlu dibayar kepada TH.

Mengulas lanjut Nik Mohd Hasyudeen berkata, penstrukturan itu dibuat kerana terdapat aset milik TH yang sudah jatuh nilainya atau pulangannya tidak sampai pada tahap yang diinginkan.

Katanya, aset ini kemudian dipindahkan ke UJ, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan yang mana ia membayar pemindahan aset ini dengan sukuk.

"Pemindahan ini menyebabkan nilai aset TH kembali menjadi lebih tinggi daripada tanggungannya dan membolehkan kita mengagihkan keuntungan kepada pendeposit.

"Jika langkah ini tidak dilaksanakan pada ketika itu, ia akan menyebabkan nilai aset kita jatuh dan tanggungan pula lebih tinggi. Implikasinya, yang pertama kita tidak boleh membayar agihan keuntungan setiap tahun kepada pendeposit dan akibatnya mungkin pendeposit akan keluarkan duit mereka daripada TH. Jadi itulah isu yang diuruskan pada masa itu," katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohd Hasyudeen turut berkongsi proses digitalisasi TH ketika ini yang menyaksikan peningkatan dari segi bilangan transaksi dalam talian.

Katanya, bilangan transaksi di kaunter kekal stabil, namun lebih kurang 76 peratus transaksi ketika adalah dalam talian.

"Sebab itu sekarang kita mahu menambah fungsi dalam aplikasi Tijari yang kini sudah mempunyai lebih 300,000 pengguna sejak dilancarkan pada Februari lalu.

"Kita merancang untuk menambah fungsi lain seperti pendaftaran dan rayuan haji dalam tempoh setahun, dua ini.

"Maka selepas ini sudah tiada keperluan lagi untuk pergi ke cawangan TH. Kita berharap dari segi perkhidmatan lain, semuanya dapat dibuat menerusi Tijari.

" Ini akan lebih memudahkan pelanggan kita terutamanya yang duduk jauh dari cawangan kita," katanya.

Berita Harian X