Ahad, 8 November 2020 | 12:04pm
Gambar fail. - Foto: AFP
Gambar fail. - Foto: AFP

Belanjawan 2021: Subsidi upah, bantuan kewangan rakyat, PKS sokong permintaan domestik

KUALA LUMPUR: Fokus berterusan Malaysia terhadap pemberian subsidi upah dan bantuan kewangan kepada isi rumah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2021, akan menyokong mengukuh permintaan domestik

Ia sekali gus dapat menghindari pemberhentian dan penutupan perniagaan berskala besar.

Penganalisis-AVP, Sovereign Risk Group, Moody's Investors Service, Christian Fang, berkata Belanjawan 2021 akan terus membantu memulihkan ekonomi Malaysia daripada kejutan yang dicetuskan penularan COVID-19.

Beliau berkata, Moody's Investors Service menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia akan meningkat semula kepada lebih daripada 7.0 peratus tahun hadapan, berbanding penguncupan sekitar antara 5.0 hingga 5.5 peratus tahun ini.

"Bagaimanapun, defisit yang masih melebar untuk 2021 akan meningkatkan cabaran konsolidasi fiskal kerajaan untuk beberapa tahun ke depan," katanya mengulas mengenai Belanjawan 2021.

Moody's Investors Service mengunjurkan beban hutang langsung Malaysia kekal melebihi 62 peratus daripada KDNK menjelang akhir 2021 berbanding di bawah 53 peratus pada akhir 2019. 

Selain itu, ia berkata, tidak ada pengurangan mendadak defisit belanjawan melangkaui 2021 yang dicadangkan dalam sasaran tempoh sederhana kerajaan, beban hutang Malaysia akan kekal tinggi dalam jangka sederhana, kelemahan kredit berdaulat berbanding rakan setara lain.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan jumlah perbelanjaan bagi 2021 adalah perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak RM322.5 bilion.

Beliau berkata, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19, manakala sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

"Mengambil kira anggaran itu, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding KDNK," katanya, sambil menambah bahawa kesan wabak COVID-19 akan terus dirasai pada tahun depan.

Tengku Zafrul berkata, kutipan hasil kerajaan bagi 2021 dijangka meningkat kepada RM236.9 bilion, namun begitu, kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang mengembang.

Berita Harian X