Isnin, 26 Oktober 2020 | 5:10pm
Gambar fail. Anggota Polis membuat pemeriksaan dokumen pergerakan pada kenderaan yang melalui sekatan jalan raya menuju pusat bandar di Plaza Tol Gombak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. - Foto: NSTP/Asyraf Hamzah
Gambar fail. Anggota Polis membuat pemeriksaan dokumen pergerakan pada kenderaan yang melalui sekatan jalan raya menuju pusat bandar di Plaza Tol Gombak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. - Foto: NSTP/Asyraf Hamzah

MIER semak semula unjuran KDNK negara kepada -5.5 peratus

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak semula unjurannya bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar pada 2020 dengan menurunkannya kepada -5.5 peratus susulan faktor-faktor yang memberi kesan kepada ekonomi negara.

Kumpulan pemikir itu berkata, unjuran berkenaan adalah berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan kembali perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) serta tiadanya langkah-langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pertumbuhan KDNK bagi suku ketiga dan keempat 2020 dijangka mencatatkan pertumbuhan positif antara 2.0 peratus dan 2.5 peratus, bergantung besar kepada keberkesanan pakej rangsangan PRIHATIN dan PENJANA, kata MIER dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kadar pengangguran dijangka kekal stabil daripada impak pakej rangsangan PRIHATIN dan PENJANA, sekiranya moratorium pinjaman dikekalkan sehingga akhir tahun untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk yang besar dari segi pekerjaan pada antara 3.7 peratus dan 4.5 peratus.

"Walaupun pertumbuhan KDNK menyusut dengan ketara pada suku kedua 2020 sebanyak -17.1 peratus, kadar pengangguran menunjukkan trend penurunan," kata institut itu.

Bagi 2021, MIER mengekalkan unjurannya bagi kadar pertumbuhan KDNK sebenar pada 5.2-6.7 peratus dengan mengambil kira unjuran daripada "Crouching Tiger Initiative" dan pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 awal tahun hadapan.

"Bagaimanapun, memandangkan usaha melandaikan COVID-19 mengambil masa enam bulan semasa gelombang pertama, kami menjangkakan gelombang ketiga ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dalam tempoh yang sama dan akan melambatkan pemulihan hingga ke suku pertama 2021," kata institut itu.

Meskipun mengambil kira prospek dunia disebabkan pandemik COVID-19 bagi pertumbuhan, perdagangan dan pelaburan, risiko negatif utama terhadap unjuran itu masih kekal lonjakan pandemik yang berlaku sekarang, kata MIER.

Menurutnya, faktor-faktor yang menyumbang kepada proses mitigasi akan membabitkan langkah baharu untuk membendung pandemik dan langkah-langkah rangsangan kerajaan termasuk perbelanjaan awam dan insentif baharu dan pelaburan dalam sektor swasta.

"Kerajaan mesti memastikan peralihan daripada ekonomi dipacu penggunaan dan hutang kepada transformasi diterajui pelaburan dan teknologi," kata MIER.

– Bernama

Berita Harian X