Jumaat, 25 September 2020 | 10:18am
Fatin Nabilah Zulkifli, 25, (kiri) bersama Siti Nor Aqila Ismail, 20, menyaksikan perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 'Kita Prihatin' yang disiarkan secara langsung pada Rabu. - Foto: NSTP/Hairul Anuar Rahim
Fatin Nabilah Zulkifli, 25, (kiri) bersama Siti Nor Aqila Ismail, 20, menyaksikan perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 'Kita Prihatin' yang disiarkan secara langsung pada Rabu. - Foto: NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kita Prihatin: Tiada perubahan sasaran defisit 5.8 - 6.0 peratus

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM10 bilion untuk Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin adalah daripada dana yang belum digunakan dalam peruntukkan keseluruhan RM45 bilion sebelum ini, demikian mengikut HLIB Research.

Susulan itu paras defisit fiskal tidak berubah daripada sasaran rasmi awal kerajaan iaitu antara 5.8 hingga 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak berubah.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan suntikan fiskal langsung berjumlah RM45 bilion bagi membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang secara keseluruhannya bernilai RM295 bilion.

Kita Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu, merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.

HLIB Research, cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd, dalam nota penyelidikannya berkata, sebahagian besar pakej Kita Prihatin bertumpu dalam menyokong pasaran pekerjaan, enterpris mikro dan isi rumah B40 dan M40.

Pemberian tunai dan geran itu, katanya, bertujuan mengurangkan beban aliran tunai isi rumah dan firma untuk tiga hingga empat bulan akan datang.

"Dengan moratorium automatik berakhir 30 September 2020, lanjutan dasar fiskal ini dilihat tepat pada masanya bagi menyeimbangkan beberapa impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula menyifatkan suntikan rangsangan terbaharu itu dijangka mampu untuk terus menyokong pemulihan pertumbuhan ekonomi semasa.

Dengan bantuan yang berfokus itu, ia dijangka mengekang beberapa impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah dengan berakhirnya moratorium pinjaman automatik 30 September ini.

Kenanga Investment berkata, pelaksanaan pakej tambahan khas itu dijangka melindungi pekerjaan dalam bidang yang terjejas oleh COVID-19 dan juga menyokong perniagaan yang mungkin terlepas pandang dalam bantuan awal yang diperkenalkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Bank pelaburan itu menjangkakan pelaksanaan pakej berkenaan akan merangsang perbelanjaan domestik di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang masih berdepan kadar pengangguran yang tinggi.

"Suntikan fiskal tambahan RM10 bilion akan memacu pemulihan ekonomi selanjutnya. Kita Prihatin adalah kecil tetapi pelan fiskal berfokus yang akan menyokong pemulihan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Berita Harian X