Khamis, 17 September 2020 | 12:28pm
Industry4WRD mampu menyumbang kepada peningkatan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negara - Foto hiasan
Industry4WRD mampu menyumbang kepada peningkatan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negara - Foto hiasan

Malaysia destinasi utama pelaburan teknologi tinggi 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi destinasi utama pelaburan industri berteknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh teknologi termaju menjelang 2025.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob, berkata jangkaan itu dapat dicapai menerusi pelaksanaan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) yang akan mengangkat sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

Katanya, menerusi Industry4WRD, Malaysia dilihat memiliki potensi menjadi rakan strategik bagi pembuatan pintar serta perkhidmatan berkaitan di Asia Pasifik.

"MITI menjangkakan Industry4WRD mampu menyumbang kepada peningkatan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negara untuk mencecah RM392 bilion menjelang 2025, lebih tinggi berbanding RM254 bilion pada 2018.

"Semua sasaran kerajaan ini bakal dipacu penerapan teknologi Industri 4.0 dan peningkatan daya kecekapan serta produktiviti perniagaan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Industry4WRD yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 dipacu oleh tiga faktor peralihan iaitu Insan, Proses dan Teknologi.

Ia menggariskan 13 strategi utama serta 38 program yang akan transformasi landskap industri pembuatan dalam dekad seterusnya.

Menerusi lima pemangkin strategik, F.I.R.S.T, pelan tindakan sasaran dibangunkan untuk menangani pembiayaan, infrastruktur, peraturan, kemahiran dan bakat serta teknologi berkaitan industri berkenaan.

Norazman berkata, MITI mengambil pendekatan untuk memberi pendedahan secara meluas kepada PKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan bagi memastikan maklumat berkenaan Industri 4.0 dapat disampaikan dengan tepat.

Selain itu, katanya, insentif yang bersesuaian seperti geran dan pemotongan cukai disediakan bagi meringankan beban PKS untuk menaik taraf teknologi yang diperlukan.

"Kerjasama juga dilaksanakan antara agensi di bawah MITI dengan syarikat swasta tempatan dalam mewujudkan teknologi Industri 4.0 yang berpatutan dan bersesuaian dengan landskap keperluan industri tempatan.

"Peralihan kepada Industri 4.0 adalah penting bagi memastikan industri tempatan akan dapat terus kekal berdaya saing dengan sokongan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif.

"Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan dasar yang berkesan, sektor pembuatan negara dapat terus meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi, memperkukuh produktiviti, menggalakkan daya inovasi dan menambah bilangan tenaga kerja mahir di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Norazman berkata, peralihan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan kepada Industri 4.0 akan wujudkan kesan positif serta negatif kepada sektor pekerjaan.

Dalam keadaan itu, katanya, bidang pekerjaan berkemahiran rendah yang bergantung kepada sumber tenaga buruh asing akan mengalami kemerosotan.

"Industri 4.0 akan mewujudkan kumpulan sumber tenaga kemahiran tinggi yang berteraskan teknologi. Penambahbaikan kemahiran dalam kalangan pekerja dapat dilakukan apabila syarikat PKS melalui proses transformasi Industri 4.0.

"Antara inisiatif yang disenaraikan ialah menyediakan program yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melatih semula (reskilling) bagi mempertingkatkan kemahiran dalam menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan kerja di masa hadapan yang berasaskan teknologi Industri 4.0," katanya.

Berita Harian X